suria

[V] “Malam yang cukup panjang” - Konvoi Global Sumud Flotilla dihujani serangan sekurang-kurangnya 10 dron Israel

PU Rahmat antara peserta yang terlibat dalam Global Sumud Flotilla.

PESERTA Global Sumud Flotilla, mengakui lewat malam Selasa menjadi malam yang cukup panjang buat mereka apabila dihujani sekurang-kurangnya 10 serangan dron berserta letupan ketika berada di perairan antarabangsa Laut Mediterranean berhampiran dengan perairan Greece.

Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat memaklumkan semua letupan sengaja dilepaskan di sekitar bot tanpa mengenai sasaran secara langsung.

Beliau percaya tindakan itu adalah sebahagian daripada strategi serangan psikologi bagi melemahkan semangat sukarelawan.

Suasana di atas bot ketika serangan dron.Suasana di atas bot ketika serangan dron.

“Mereka tahu serangan seperti ini akan mengganggu emosi kita. Inilah serangan psikologi.

"Tetapi Alhamdulillah, semua peserta kekal kuat kerana telah dilatih di Sepanyol, termasuk bagaimana mengawal emosi, memadam kebakaran dan prosedur evakuasi,” katanya menerusi hantaran video [Tonton Video].

ARTIKEL BERKAITAN: Misi Global Sumud Flotilla dalam fasa penting... Ini 13 trivia mengenai bantuan kemanusiaan ke Gaza

Rahmat berkata, serangan itu tidak mematahkan semangat sukarelawan yang kini sedang dalam misi menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk Gaza.

Dia turut menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya umat Islam agar terus bersuara di media sosial bagi memberi tekanan kepada Israel supaya membenarkan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza.

“Kalau benar pemimpin dunia mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat, mengapa konvoi kemanusiaan tanpa senjata ini tidak diberi laluan? Kami mencabar mereka untuk bertindak, bukan sekadar retorik,” katanya.

Global Sumud Flotilla melibatkan 50 buah kapal dari pelbagai negara dengan digerakkan atas semangat kemanusiaan dan solidariti terhadap rakyat Gaza yang masih berdepan krisis kemanusiaan berpanjangan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain