suria

“Aku injak la kepala ko ni” - Saksi pelajar dengar senior tengking Zara Qairina ketika duduk bersila atas lantai

Prosiding bagi inkues kematian Zara Qairina berlangsung selama 19 hari.

MAHKAMAH Koroner Kota Kinabalu, Sabah pada Jumaat dimaklumkan oleh saksi pelajar keempat bahawa seorang senior pernah menengking arwah Zara Qairina pada malam sebelum dia ditemukan tidak sedarkan diri.

Shahlan Jufri yang mengetuai barisan peguam bagi pihak ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, berkata jeritan sekitar 10 malam itu didakwa cukup kuat sehingga boleh didengari seluruh asrama.

Menurut keterangan saksi, dia ketika itu sedang berbaring di katil sambil membaca novel sebelum melihat Zara Qairina masuk ke bilik senior untuk bertemu dua ketua asrama.

"Mereka menyoal Zara mengenai kehilangan dompet. Tidak lama selepas itu, tiga lagi senior masuk ke bilik berkenaan. Zara ketika itu duduk bersila di lantai berdepan dengan salah seorang senior.

"Walaupun berada berdekatan, saksi memaklumkan dia tidak dapat mendengar perbualan mereka, tetapi jelas terdengar salah seorang senior menengking dengan kata-kata aku injak (tekan dengan kaki) la kepala ko ni Zara," katanya selepas prosiding pada Jumaat.

Tambah Shahlan, Zara kembali ke biliknya 20 minit kemudian manakala pelajar lain turut bersurai.

ARTIKEL BERKAITAN: Maklumat saksi bocor di media sosial, inkues Zara Qairina ditangguh

ARTIKEL BERKAITAN: "Aku tak mencuri!" - Zara Qairina menangis teresak-esak, bersumpah lepas dituduh curi barang ketua asrama

Saksi juga mengaku tidak mengetahui sama ada Zara mempunyai konflik dengan pelajar lain di sekolah, selain memberitahu berlaku ribut dengan hujan lebat serta angin kencang pada malam kejadian.

Prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan akan bersambung Isnin depan.

Mahkamah pada Khamis mengekalkan larangan liputan media sepanjang keterangan saksi kanak-kanak, susulan arahan Pejabat Peguam Negara (AGC).

Bagaimanapun, Amir menjelaskan maklumat prosiding masih boleh diperoleh menerusi peguam-peguam yang hadir.

Untuk rekod, Zara meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth dan dikebumikan pada hari sama di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Sipitang, Sabah.

Pelajar itu dimasukkan ke hospital selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang di asrama sekolahnya di Papar kira-kira pukul 4 pagi.

Pada 8 Ogos lalu, AGC mengarahkan jenazahnya digali semula bagi tujuan bedah siasat sebelum mengumumkan inkues akan dijalankan pada 13 Ogos. -The Star

Artikel Lain