DAKWAAN terbabit dalam kes curi dipercayai menjadi punca Zara Qairina Mahathir ditemukan tidak sedarkan diri di asramanya pada awal pagi 16 Julai lalu.
Perkara itu dimaklumkan peguam mewakili ibu Zara dalam prosiding inkues di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu, Sabah apabila saksi keenam kanak-kanak menceritakan kejadian berlaku pada malam 15 Julai, sehari sebelum arwah ditemukan.
Sementara itu menurut peguam Shahlan Jufri, saksi ke-14 inkues berkenaan dalam keterangannya pula berkata, dia melihat Zara masuk ke bilik asrama pada pukul 10.20 malam untuk berjumpa dengan seorang pelajar senior.
"Saksi ini memberitahu mahkamah bahawa Zara dipanggil untuk dua kes kecurian kehilangan dompet. Saksi terdengar perbualan isu kecurian disebut, namun tidak jelas.
"Beberapa ketika kemudian, empat senior termasuk dua orang pelajar senior yang dikenali pelajar tersebut masuk ke dorm untuk berjumpa Zara.
ARTIKEL BERKAITAN: “Aku injak la kepala ko ni” - Saksi pelajar dengar senior tengking Zara Qairina ketika duduk bersila atas lantai
ARTIKEL BERKAITAN: Maklumat saksi bocor di media sosial, inkues Zara Qairina ditangguh
"Saksi mendengar suara kuat seperti memarahi Zara, tetapi tidak dapat dipastikan siapa yang bercakap," katanya kepada pemberita yang mengikuti prosiding inkues berkenaan.
Peguam turut memaklumkan bahawa saksi sama memberi keterangan dia tahu siapa yang memarahi Zara pada malam kejadian.
Saksi berkenaan juga mendakwa Zara dilihat keluar dari bilik asrama dalam keadaan menangis sekitar pukul 11 malam.
"Saksi juga memberitahu tidak pernah nampak Zara lepak atau ke dorm itu sebelum ini. Itu adalah kali terakhir saksi melihat Zara pada malam kejadian.
"Saksi juga berkata dia ada menghantar surat privasi Zara ke dorm Zara dan ada pelajar yang menjadi saksi Zara menerima surat tersebut," katanya.
Allahyarham Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.