POLIS menahan sembilan penunggang motosikal yang disyaki terlibat dalam kes ancaman ke atas seorang pemandu Perodua Myvi.
Suspek berusia antara 17 hingga 21 tahun itu ditahan awal pagi Selasa di sekitar Puchong dan Shah Alam, Selangor.
Sebanyak tiga motosikal turut disita.
Penahanan itu disahkan Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad yang berkata semua suspek akan direman pada Selasa.
Dalam kejadian pada Ahad, kira-kira 20 penunggang motosikal dilihat mengepung sebuah kereta Myvi yang dipercayai sedang melarikan diri.
Salah seorang penunggang motosikal turut dilihat menendang kereta berkenaan dalam rakaman video yang tular di media sosial.
Kejadian itu berlaku berhampiran Plaza Tol Batu 13, Serdang, kira-kira pukul 4 pagi, Ahad.
Punca kejadian masih dalam siasatan. -The Star