suria

“Kalau saya terjun tingkat 3, kau sedihkah?” – Saksi imbas kata-kata Zara Qairina di koridor asrama

Zara Qairina meninggal dunia pada Julai.

SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Koroner Kota Kinabalu bahawa Allahyarham Zara Qairina Mahathir pernah memberitahunya mengenai kemungkinan untuk terjun dari tingkat tiga bangunan asrama.

Saksi kelapan kanak-kanak itu memberitahu Zara Qairina hanya diam apabila bertanya kenapa dia berkata begitu.

Perkara itu dimaklumkan Peguam Datuk Ram Singh yang mewakili seorang saksi kanak-kanak selepas selesai prosiding pada Selasa.

"Zara pernah berkata kepada saksi bagaimana kalau saya terjun dari tingkat 3? Kau sedihkah? Lepas itu saksi jawab kenapa kamu cakap begitu? Tidak bagus. Kemudian Zara diam.

"Saksi berkata pada masa itu hanya mereka berdua berada di hadapan biliknya. Saksi berkata Zara melihat ke bawah dari koridor asrama dengan keadaan murung dan kejadian itu berlaku sekitar bulan April 2025," katanya.

Tambah Ram, saksi berkenaan tidak pasti sama ada Zara Qairina mempunyai konflik dengan pelajar lain di sekolah mereka dan dia sendiri mengaku tidak pernah mempunyai konflik dengan arwah.

ARTIKEL BERKAITAN: Maklumat saksi bocor di media sosial, inkues Zara Qairina ditangguh

ARTIKEL BERKAITAN: Penghuni asrama perlu baca doa sebelum tidur selepas insiden kematian Zara Qairina

Katanya, saksi juga tidak pernah nampak Zara Qairina dimarahi atau diganggu pelajar lain.

"Saksi juga tidak pernah nampak sesiapa pelajar meraba atau melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap Zara di bilik asrama atau sekolah," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Selain itu, menurut Ram saksi ke-16 inkues itu mengetahui Zara Qairina ada menulis diari di sekolah dan sentiasa menulisnya dalam bilik asrama pada waktu petang dan malam.

"Tapi, saksi tidak tahu berapa buku diari yang Zara ada dan saksi tidak pasti sama ada Zara menulis diari setiap hari. Saksi tidak pernah membaca diari Zara tersebut," katanya.

Jelasnya, saksi berkenaan mengenali Zara Qairina kerana tinggal di bilik yang sama tetapi hanya kawan biasa.

"Saksi juga menceritakan pada malam 15 Julai lalu, semasa saksi berada di bilik asrama, saksi mendengar ada orang memanggil Zara datang ke bilik sebelah.

"Selepas itu saksi nampak Zara pergi ke bilik sebelah dan saksi dimaklum oleh rakan sebilik bahawa Zara dipanggil untuk berjumpa senior pasal kehilangan barang di 'dorm'.

"Selepas Zara kembali ke 'dorm' mereka, katanya dia (arwah) terus baring di lantai dan menangis. Zara juga ada teriak sambil bercakap 'aku nda curi bah, sial'.

"Saksi tidak tahu bagaimana kejadian Zara berjumpa dengan senior kerana saksi tidak pergi ke bilik sebelah," katanya.

Ram berkata, saksi berkenaan menjelaskan sebelum itu pelajar senior tidak pernah berjumpa dengan Zara Qairina dan setahu saksi, hanya sekali pada malam 15 Julai itu saja.

Artikel Lain