suria

[V] “Keluarga tahu saya panggil dia sayang, wifey” - Gadis perjelas status dengan BFF, gesa Caprice padam video berunsur fitnah

Tangkap layar yang tular di media sosial.

VIDEO TikTok memaparkan aksi mesra dua gadis bertudung mengundang pelbagai reaksi netizen di media sosial.

Selain aksi berpelukan di hadapan cermin [Tonton Video], turut tular tangkap layar memaparkan foto cium pipi antara dua gadis berkenaan.

Rakaman itu semakin menjadi bualan netizen selepas ia dikongsi semula oleh penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan Caprice menerusi Instagram pada Selasa malam.

Tanpa usul periksa, rata-rata netizen pula cuba mengaitkan apa yang dilihat mereka sebagai sesuatu yang janggal hingga menuduh dua gadis berkenaan sebagai pasangan sejenis.

"Dunia makin pelik. Kalau nak jadi jahat tolong la jangan libatkan atau sebut Allah," demikian tulis Caprice atau Ariz Ramli mengiringi perkongsian tersebut.

Kapsyen berkenaan dipercayai merujuk kepada satu tangkap layar daripada posting milik salah seorang individu berkenaan di Instagram.

"Dan bila tiba masanya, semoga Allah mempertemukan kita kembali bukan sekadar di dunia, tetapi dalam ketenangan dan kebahagiaan yang abadi di Jannah," tulis individu terbabit.

Susulan tindakan Caprice, individu berkenaan tampil mempertahankan diri dan menafikan mereka adalah pasangan sejenis.

"Kami bukanlah pasangan, dia kawan baik saya. Dia juga anak angkat ibu saya, sekali gus menjadikan dia kakak saya. Keluarga tahu tentang kami, malah ibu saya juga likes video kami. 

"Saya berani muat naik video panggil dia sayang atau wifey sebab kedua-dua belah keluarga tahu ia sekadar nama timangan (nickname) yang kami selalu guna," tulis gadis itu.

Gadis berkenaan turut memohon orang ramai agar berhenti menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai dia dan rakannya itu.

Pelancaran Single terbaharu Unic ft Caprice - Sedar

Gadis yang tular itu meminta Caprice agar memadam video yang dikongsi di media sosialnya.

Dia juga meluahkan rasa kecewa dengan tindakan Caprice yang berkongsi video tersebut tanpa usul periksa.

"Ia sangat mengecewakan untuk melihat orang bercakap tanpa memahami siapa kami yang sebenar. 

"Hanya kerana kamu seorang artis, ia tak bermakna kamu ada hak untuk bercakap apa sahaja tentang orang lain.

"Saya memohon jasa baik kamu untuk turunkan video kerana ia bersifat fitnah terhadap kami," tulis gadis itu lagi.

Di ruangan komen, pelayar TikTok dilihat turut meninggalkan komen positif buat gadis berkenaan.

"Saya tak nampak apa yang salah dengan hubungan baik antara kakak dan adik.

"Jaga diri baik-baik. Apapun, jangan sampai mendatangkan fitnah apabila berkongsi di media sosial.

"Anda berdua ni cantik tau. Jaga diri baik-baik. Semoga yang baik-baik untuk kamu berdua," tulis netizen.

Artikel Lain