RAJA Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah selamat diijabkabul dengan suri hati baginda, Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.
Istiadat Pernikahan Diraja disempurnakan oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir.
Menurut kenyataan rasmi di Facebook Selangor Royal Office, akad ijab dan kabul dimeterai tepat pukul 10.05 pagi dengan sekali lafaz disusuli dengan 11 das tembakan meriam di pekarangan Istana Alam Shah.
"Dua orang saksi pernikahan adalah Tengku Panglima Raja Selangor, Tengku Ahmad Shah dan Tengku Indera Pahlawan Diraja, Tengku Datuk Setia Putra.
"Istiadat pernikahan yang dilakukan dengan penuh tertib mengikut adat ini, disaksikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
"Turut hadir dalam istiadat tertutup ini adalah kerabat Diraja Selangor dan keluarga pengantin Diraja perempuan serta sahabat handai kedua-dua belah pihak," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Tengku Amir Shah yang segak berbaju Melayu putih diarak dengan menaiki Rolls Royce ke Masjid Istana Diraja dengan disaksikan kira-kira 2,000 rakyat yang menanti di sepanjang laluan.
Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan Istiadat Perkahwinan Diraja, Raja Muda Selangor pula akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober ini.