SALAH sebuah kapal misi Global Sumud Flotilla (GSF), Mikeno, dilihat telah memasuki perairan Palestin dan berada kira-kira 17 kilometer (km) dari Pantai Enklaf.
Perkara itu dinyatakan Quds News Network menerusi laman Threads rasminya yang juga dapat dilihat menerusi 'tracker' GSF.
"Salah satu kapal Flotilla Sumud Global telah berjaya memasuki perairan Palestin di luar Gaza.
"Ia kini berada beberapa kilometer dari Pantai Enklaf," ujarnya.
Salah seorang wakil Al Jazeera, Hassan Massoud turut melaporkan kapal Mikeno berjaya memasuki kawasan perairan Gaza.
Antara aktivis yang ditahan Tentera Laut Israel dan akan dihantar pulang.
Bagaimanapun menerusi 'tracker' di laman web rasmi GSF, kapal berkenaan dilihat tidak bergerak, namun berstatus 'belayar'.
Malah tiada laporan rasmi mengenainya dikeluarkan mana-mana pihak.
Ia membuatkan masyarakat dunia tertanya-tanya mengenai status kapal Mikeno sama ada telah dipintas mahupun berjaya sampai ke pantai Gaza.
Untuk rekod awal pagi tadi, 12 kapal GSF termasuk 12 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF disahkan ditahan secara tidak sah oleh tentera Israel selepas dipintas di perairan antarabangsa.
Malah dua lagi kapal direkodkan terputus hubungan iaitu Mikeno dan Estrella yang turut melibatkan lima rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Israel pada Khamis memaklumkan, pihaknya akan menghantar pulang aktivis pro-Palestin dari kapal GSF yang dipintas oleh tentera lautnya.
"Penumpang Hamas-Sumud di atas kapal layar mereka menuju ke Israel dengan selamat dan aman, di mana prosedur pengusiran mereka ke Eropah akan bermula.
"Penumpang selamat dan dalam keadaan sihat," kata kementerian itu di laman X, selepas tentera laut Israel memintas beberapa kapal yang belayar menuju ke Gaza.