suria

Kesemua 23 sukarelawan Malaysia ditahan tentera Israel, PM gesa campur tangan pemimpin dunia

Rakyat Malaysia menyuarakan kebebasan tahanan menerusi Himpunan Sumud Flotilla yang berlangsung di The Linc.

KESEMUA 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, dipintas dan ditahan di perairan antarabangsa oleh rejim Zionis.

Perkara itu disahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sidang media secara langsung di Facebook rasminya pada Khamis.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah menghubungi beberapa pemimpin negara dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat (AS) sejurus menerima maklumat berkenaan insiden tersebut. 

"Saya terus menghubungi Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani; Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sisi.

"Bersama Menteri Luar (Datuk Seri Mohamad Hasan) menghubungi beberapa rakan lain termasuk Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio," ujar beliau.

Anwar turut menggesa campur tangan pemimpin dunia bagi memastikan kebebasan semua yang ditahan oleh rejim Israel

"Apa yang didakwa menjadi kesalahan mereka adalah keprihatinan mereka, membantu yang lemah dan kelaparan.

"Kalau itu tidak dapat dilakukan, maknanya nilai kemanusiaan kita tidak berharga sama sekali. 

"Jadi sekarang ini, saya doakan supaya kezaliman rejim Israel ini dihentikan, rakan-rakan kita dibebaskan dan saluran bantuan dapat disampaikan dalam keadaan segera," tambah beliau.

Artikel Lain