PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel yang memintas misi Global Sumud Flotilla (GSF) pada pagi Khamis.
Menurutnya, kapal tersebut membawa orang awam tidak bersenjata serta bekalan kemanusiaan penting untuk rakyat Palestin di Gaza namun berdepan dengan intimidasi dan paksaan.
"Dengan menghalang misi kemanusiaan, Israel telah menunjukkan penghinaan yang nyata bukan sahaja terhadap hak rakyat Palestin tetapi juga terhadap hati nurani dunia.
"Flotilla itu melambangkan solidariti, kasih sayang serta harapan untuk meringankan penderitaan mereka yang hidup di bawah sekatan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Anwar menegaskan Malaysia akan menggunakan segala cara sah dan berlandaskan undang-undang untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan, khususnya dalam hal yang melibatkan keselamatan rakyat Malaysia.
"Keselamatan dan maruah rakyat kita adalah yang paling utama dan kita tidak akan membiarkannya dikompromi tanpa sebarang tindakan.
"Selagi hak asasi dan aspirasi rakyat Palestin dinafikan, Malaysia akan terus berdiri teguh bersama mereka.
"Kita tidak akan berhenti menuntut penghujung kepada ketidakadilan dan perampasan yang telah menimpa Palestin sejak sekian lama," ujarnya.
Sementara itu, media antarabangsa melaporkan seramai 12 aktivis kemanusiaan Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera Israel selepas beberapa kapal mereka dipintas ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza.
Antara yang ditahan ialah penyanyi Zizi Kirana, pendakwah selebriti, Heliza Helmi bersama adiknya Hazwani Helmi serta personaliti media sosial dan aktivis kemanusiaan, Farah Lee.
Menurut kenyataan Sekretariat Nusantara Care for Community (SNCC), kapal yang membawa delegasi Malaysia iaitu Alma, Sirius, Huga, Grande Blu dan Hio dipintas pihak berkuasa Israel sebelum semua aktivis ditahan.
Misi GSF kali ini disertai seramai 497 peserta dari 46 negara sebagai simbol solidariti antarabangsa terhadap rakyat Palestin, selain membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta barangan asas ke Gaza.