SEORANG murid darjah empat ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah rendah di Seremban, Negeri Sembilan.
Berdasarkan siasatan awal, kanak-kanak terbabit ditemukan di dalam tandas sekolah oleh guru disiplin pada petang Rabu.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, murid terbabit kemudiannya dirujuk ke kemudahan kesihatan swasta, namun disahkan meninggal dunia oleh doktor.
"Bedah siasat dilakukan pada Khamis bagi mengenal pasti punca kematian murid berusia 10 tahun itu.
"Buat masa ini, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tragedi yang berlaku pada petang Rabu itu menjadikan jumlah kes kematian di sekolah di Negeri Sembilan meningkat kepada dua dalam tempoh seminggu.
Sebelum ini murid Tahun Tiga, Abdul Fatah Khairol Rizal dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam saluran pembetung di kawasan sekolah di Lenggeng, Nilai pada Sabtu.
Susulan itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menyuarakan keazaman untuk menangani isu yang berlaku dengan komited.
Menerusi kenyataan di Facebook, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar berkenaan.
"Takziah kepada keluarga pelajar yang terlibat dalam kemalangan di sebuah sekolah di Negeri Sembilan semalam.
"Insiden ini sedang dalam siasatan polis. Saya memberi jaminan bahawa KPM (Kementerian Pendidikan) komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada proses siasatan yang sedang dijalankan," jelasnya.
Pihaknya juga telah mengaktifkan campur tangan sokongan psikologi untuk situasi krisis.