SEMANGAT kemanusiaan dan tanggungjawab sebagai wartawan mendorong Syafik Shukri Abdul Jalil menyertai misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) bagi membawa suara rakyat Gaza yang terus hidup di bawah kepungan haram rejim Zionis.
Wartawan Astro AWANI berusia 33 tahun itu kini berada di atas kapal Conscience bersama 92 peserta dari 25 negara melibatkan 11 kapal yang belayar dari dua pelabuhan berbeza di Itali iaitu Sicily dan Otranto.
“Saya telah berada di atas kapal Conscience sejak 30 September. Hari ini menandakan hari keenam kami di laut bersama peserta dari seluruh dunia,” katanya.
Syafik (dua dari kiri) bersama sebahagian sukarelawan Malaysia ke Gaza.
Syafik berkata, penyertaannya dalam misi ini merupakan impian seumur hidup sejak menjadi wartawan dengan matlamat kali ini bukan sekadar menghantar bantuan kemanusiaan, tetapi untuk memecahkan sekatan haram yang dikenakan terhadap rakyat Palestin.
“Sejak menjadi wartawan, saya memang memasang impian untuk masuk ke Gaza. Misi ini membawa mesej solidariti masyarakat dunia dan tekanan kepada pemimpin-pemimpin yang masih bersekongkol dengan rejim Zionis.
“Saya akui kadang-kadang rasa takut itu ada, tapi kami sudah bersedia. FFC sudah menyediakan strategi dan latihan rapi untuk berdepan cabaran dan provokasi,” katanya.
Menurut Syafik, sejak 7 Oktober 2023, ramai wartawan dan petugas kesihatan terbunuh akibat kekejaman rejim Zionis, malah wartawan luar kini dilarang membuat liputan di Gaza.
“Sebab itu misi ini sangat penting, bukan hanya menghantar bantuan, tetapi untuk memecahkan kepungan dan menyampaikan gambaran sebenar dari lapangan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Iylia Balqis dedah layanan zalim dalam tahanan rejim Zionis...Dipaksa minum air tandas, hijab direntap
ARTIKEL BERKAITAN: Derita melutut 5 jam, tak dibenarkan minum berakhir... PMX sahkan 23 aktivis Malaysia dibebaskan, bakal pulang ke Malaysia
Sebagai satu-satunya wartawan Malaysia di atas kapal Conscience, Syafik mengakui tanggungjawabnya besar untuk menyampaikan perkembangan semasa kepada rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa.
“Peranan saya adalah untuk menyebarkan kesedaran, memberi kemas kini harian tentang pergerakan kapal dan rancangan seterusnya. Saya cuba capai lebih ramai di media sosial supaya misi ini mendapat perhatian dunia.
“Saya tahu bukan semua orang dapat peluang ini. Saya akan gunakan sebaik mungkin untuk berkongsi perspektif wartawan Malaysia kepada dunia,” tambahnya.
Katanya, perjalanan ke Gaza mengambil masa sekitar tiga hingga empat hari lagi, bergantung kepada keadaan laut dan cuaca.
Kapal Conscience yang dikendalikannya merupakan satu-satunya kapal besar dalam konvoi ini dan diiringi beberapa kapal layar lain dari TMTG.
“Kami perlu kurangkan kelajuan supaya semua kapal dapat bergerak serentak. Sekarang (Ahad) sembilan kapal sedang aktif berlayar daripada keseluruhan sebelas,” katanya.
Syafik menegaskan bahawa misi flotilla bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi perjuangan kemanusiaan untuk membuka mata dunia.