HASRAT sepasang kekasih untuk bermadu asmara di hotel terbantut apabila mereka dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam serbuan di sebuah hotel di Batu Pahat tengah malam Ahad.
Lelaki berusia lingkungan 50-an yang sudah beristeri dan bekerja sebagai pegawai itu ditahan bersama pasangannya yang merupakan seorang janda muda dan bekerja di sebuah syarikat swasta, sekitar pukul 12 tengah malam.
Menurut JAINJ, pasangan itu sanggup menempuh perjalanan lebih 100 kilometer dari negeri asal semata-mata untuk berjumpa ketika cuti hujung minggu.
"Lelaki terbabit sudah beristeri dan mempunyai anak manakala wanita berstatus janda muda kerja di syarikat swasta tetapi tiada anak.
"Pasangan ini datang dari sebuah negeri yang jaraknya lebih 100km sempena cuti hujung minggu. Lelaki itu mengatakan pada isteri yang dia ada kursus di Batu Pahat.
"Isteri pula tidak mengesyaki apa-apa kerana majikan selalu hantar suaminya menghadiri kursus di luar kawasan," katanya dalam kenyataan.
Siasatan mendapati, kedua-duanya sudah lama berkawan rapat dan menjalinkan hubungan tanpa disedari isteri lelaki berkenaan kerana mereka 'pandai' menyembunyikan rahsia.
"Apabila ditanya kenapa memilih Batu Pahat sebagai destinasi untuk melakukan perbuatan ini, lelaki itu hanya menjawab dia tertarik dengan makanan di sini," katanya.
Susulan itu, JAINJ telah merekodkan keterangan pasangan berkenaan dan mereka bakal didakwa mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.