MAHKAMAH Koroner Kota Kinabalu dimaklumkan kesan darah pada beberapa bahan bukti yang dihantar ke Jabatan Kimia didapati kebanyakannya milik Zara Qairina Mahathir.
Ahli kimia, Nor Airdora Saedon, 52, memaklumkan perkara itu kepada mahkamah ketika membaca pernyataan saksinya dalam prosiding inkues kematian Zara pada Selasa.
Katanya antara barangan yang mempunyai kesan darah ialah helaian kertas dan botol kaca.
Antara bahan bukti yang disyaki mempunyai kesan darah ialah yang ditanda WK15(3)(a), WK15(8)(a), WK15(9)(a), serta WK33 hingga WK35.
ARTIKEL BERKAITAN: Zara Qairina tak sedarkan diri ketika tiba di hospital... Tiada kesan lebam, dera pada tubuh - Doktor
Semua bahan bukti itu telah diambil untuk ujian calitan DNA.
Hasil analisis mendapati WK15(3)(a) mengandungi DNA milik Zara dan seorang individu lain, manakala selebihnya disahkan milik Zara.
Airdora menerima keseluruhan 37 bahan bukti daripada pegawai penyiasat, Inspektor Wong Yew Zhung pada 11 Ogos.
Dia mengemukakan dan menanda bahan bukti tersebut di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan. -The Star