RAKAMAN video sebuah kereta pacuan empat roda jenis Isuzu yang menampal stiker tulisan Hebrew bermaksud 'Malaysia rumah kami' di bahagian belakang kenderaan, tular di media sosial.
Berdasarkan hantaran Thread Mohd Zairul, kenderaan itu dirakam di Melaka.
"Ada tulisan Hebrew di kereta, ayatnya 'Malaysia rumah kami'.
"Adakah geng ini sudah mula berani menunjukkan diri mereka? Dah trace nombor pendaftaran, tak jumpa lagi pemilik kereta," ujarnya sambil berkongsi rakaman video berdurasi 14 saat itu.
Hebrew merujuk kepada bahasa Ibrani yang merupakan salah satu dari dua bahasa Semit Barat Laut dan bahasa rasmi di Israel, serta merujuk kepada bangsa Yahudi.
Rata-rata warga maya turut meluahkan kebimbangan, apatah lagi negara ketika ini memberi fokus terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) dan serangan terhadap aktivis terlibat oleh tentera Israel.
Dalam pada itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan lanjut selepas menerima laporan dibuat oleh Pegawai Khas Agama kepada Ketua Menteri Melaka, Hairul Amin Madon yang mengesan rakaman kejadian di aplikasi Threads, pada Selasa.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati kenderaan terbabit didaftarkan atas nama seorang lelaki beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.
"Video berkenaan yang tular di aplikasi Threads memaparkan pelekat bertulisan Hebrew membawa maksud ‘Malaysia rumah kami’ atau ‘Malaysia di tangan kami’ pada bahagian belakang kenderaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketakutan atau kegentaran awam.
"Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan telekomunikasi.
Dalam pada itu, Dzulkhairi menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penyebaran video tersebut sementara siasatan dijalankan secara telus oleh pihak polis.