suria

Komunikasi terputus... Kesemua kapal misi kemanusiaan FFC, TMTG dipintas tentera Israel

Salah sebuah kapal misi kemanusiaan yang dipintas tentera Israel.

KESEMUA kapal misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) telah dipintas di perairan antarabangsa ketika berada dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza.

Apa yang membimbangkan adalah hubungan komunikasi telah terputus sepenuhnya dan nasib aktivis terlibat tidak diketahui.

Perkara itu dilaporkan Humanitarian Care Malaysia (MyCare) yang terlibat secara langsung dengan misi kemanusiaan itu.

"Rasmi, semua kapal FFC dan TMTG telah dipintas di perairan antarabangsa lingkungan 120 batu nautika dari Gaza.

"Semua hubungan telah terputus dan nasib mereka tidak diketahui. Ketika ini, mereka memerlukan doa kita," ujarnya di Facebook.

Difahamkan, kapal Freedom Flotilla Coalition bagi misi berkenaan telah dipintas pada pukul 10.50 pagi waktu Malaysia.

Berdasarkan data pelayaran terakhir pada pukul 04:00 UTC (11 pagi waktu Malaysia), kapal itu dikesan berada di koordinat 32°30.649′ N, 30°24.474′ E iaitu kira-kira lebih 120 kilometer dari pesisir Gaza.

Untuk rekod, FFC dan TMTG merupakan gelombang ketiga misi kemanusiaan antarabangsa yang membawa wartawan, pakar perubatan, ahli Parlimen dan aktivis untuk masuk ke Gaza.

Sebanyak 25 negara terlibat dalam 11 kapal yang belayar dari dua pelabuhan berbeza di Itali iaitu Sicily dan Otranto.

Seramai lapan delegasi Malaysia berada di atas kapal Conscience manakala seorang lagi berlayar di atas Umm Saad.

Mereka terdiri daripada Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi; wartawan, Syafik Shukri Abdul Jalil; dua pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Norsham Abu Bakar.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel yang memintas dan menahan kapal misi kemanusiaan FFC) serta TMTG di perairan antarabangsa pada pagi Rabu

Tegas beliau, tindakan rejim Zionis itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

"Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif dan melanggar undang-undang antarabangsa ini.

"Tindakan menahan kapal kemanusiaan yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Artikel Lain