SUASANA di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada malam Rabu sepi seketika apabila sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF), Ilya Balqis Suhaimi gagal menahan sebak ketika memberi ucapan.
Ilya memberikan ucapannya secara spontan ketika majlis Himpunan Solidariti Bersama Gaza selepas dipanggil dua rakan seperjuangan, Zizi Kirana dan Ardell Aryana untuk sama-sama berkongsi pengalaman misi bersama mereka.
Dia yang pada mulanya terdiam seketika sebelum bersuara, akhirnya memberi ucapan penuh emosi dan keinsafan berkaitan pengalaman pelayaran misi kemanusiaan ke Gaza.
"Pelayaran kami adalah pelayaran kita semua (rakyat Malaysia). Tapi saya nak tekankan yang kehadiran kami tidak akan mungkin berlaku tanpa sokongan dan doa-doa kalian.
Suasana sekitar majlis Himpunan Solidariti Bersama Gaza pada Rabu malam. -Foto Bernama
"Asbab doa-doa kalian, pelayaran kami sangat-sangat mudah. Ada beberapa ujian yang kami kena hadapi sepanjang pelayaran. Ada yang kerosakan tandas. Ada yang berlubang kapal. Ada yang terpatahnya layar.
"Tapi semua itu menjadikan kami kuat bila mana kami cuba kaitkan dengan (ujian) saudara-saudara kami di Palestin kepada wanita-wanita dan anak-anak di Palestin. Yang lebih diuji daripada sekadar layar yang terpatah," ujarnya ketika berucap di pentas.
Justeru katanya, pelbagai cabaran yang dihadapi sepanjang misi dianggap kecil jika dibandingkan dengan penderitaan rakyat Palestin yang setiap hari berdepan ujian hidup dan kematian.
Ilya turut menjelaskan tentang kebimbangan orang ramai jika kapal dinaiki mereka diserang atau diganggu pihak musuh.
Ilya Balqis ketika memberikan ucapan.
Dia berkata, setiap sukarelawan sudah bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sambil menggantung harapan sepenuhnya kepada perlindungan Allah.
"Ada yang tanya macam mana kalau kami dikacau dalam bot. Kami disusun dalam kapal dengan cara perempuan jauh daripada tangga.
"Takut kami ditarik dan diheret turun daripada tangga dimasukkan dalam bilik dan diapa-apakan. Subhanallah, Allah jaga. Tak ada apa yang berlaku sepanjang tempoh itu.
"Malah Allah angkat kami sebagai wanita-wanita Muslim yang berhijab pada ketika itu. Ada juga yang tanya macam mana kalau kami diapa-apakan.
"Tergamak ke kalau saya cakap saya diapa-apakan kalau saudara wanita-wanita di Palestin ditahan di penjara dan diperlakukan dengan perlakuan tidak wajar seperti tidak diberikan pad (tuala wanita)," katanya dalam emosi sedih sebelum ditenangkan oleh Zizi dan Ardell.
Dia yang bercerita dalam keadaan sebak dan ayat yang tersekat-sekat menyebabkan ramai hadirin di stadium turut menitiskan air mata.
Majlis turut dihadiri Anwar Ibrahim yang menyokong perjuangan rakyat Malaysia. -Foto Bernama
Ribuan orang membanjiri Stadium Axiata Arena sejak pukul 6 petang bagi menghadiri Himpunan Solidariti Bersama Gaza, yang bermula pukul 8 malam dengan solat hajat, bacaan Qunut Nazilah serta munajat perdana.
Program itu turut menampilkan perkongsian istimewa daripada sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF, selain dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong perjuangan rakyat Malaysia dalam membebaskan Palestin.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia dan Pengasas Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, serta Ketua Pengarah Sumud Nusantara, Datuk Dr Ahmad Sani Araby Abdul Alim.
Himpunan tersebut diadakan bagi menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan sebagai tanda penghargaan kepada 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai GSF, selepas mereka selamat tiba di tanah air pada malam Selasa.
Antara mereka ialah Heliza Helmi, Nur Hazwani Afiqah, Farah Lee, Zizi Kirana, Danish Nazran Murad, Ardell Aryana, PU Rahmat, dan Ilya Balqis sendiri yang merupakan pelajar Sarjana Pengajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).