suria

Malaysia jadi tumpuan serantau, Petra terajui Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Asean ke-43

Mesyuarat AMEM ke-43 akan berlangsung selama 4 hari di KLCC.

KUALA Lumpur bakal menjadi tumpuan utama rantau ini apabila Malaysia mengambil peranan sebagai rumah kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga serantau (Asean) (AMEM) ke-43, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 14 hingga 17 Oktober 2025.

Perhimpunan berprofil tinggi ini diterajui pelaksanaannya oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dan bertujuan membincangkan kerjasama serta merangka hala tuju ke arah masa depan tenaga serantau yang berdaya saing dan selamat.

Dijangkakan sekitar 38 delegasi yang terdiri daripada Menteri dan pegawai kanan dari seluruh negara Asean, bersama lebih 1,000 peserta termasuk sekretariat dan wakil media, akan menyertai sesi selama empat hari berkenaan.

AMEM kali ini signifikan kerana ia berlangsung ketika Asean berdepan cabaran global tenaga dan keperluan mendesak untuk mempercepatkan peralihan kepada sumber tenaga yang lebih bersih dan mampan. 

 AMEM ke-43 bakal membincangkan kerjasama dan merangka hala tuju ke arah masa depan tenaga serantau yang berdaya saing dan selamat.

Sidang ini menjadi platform utama bagi Menteri-Menteri Tenaga Asean membincangkan hala tuju bersama dalam memperkukuh keselamatan tenaga, memperluas tenaga boleh baharu, serta mempercepatkan integrasi pasaran tenaga melalui Asean Power Grid (APG).

Keputusan yang bakal dicapai kelak dijangka memastikan rakyat Asean menikmati tenaga yang stabil, mampu milik dan mesra alam, di samping membuka peluang ekonomi baharu serta menyokong aspirasi sifar bersih rantau ini.

Tahun 2025 juga bakal menyaksikan pelancaran dua dokumen penting iaitu Pelan Tindakan Asean bagi Kerjasama Tenaga (APAEC) 2026–2030 dan Pelan Hala Tuju Jangka Panjang Tenaga Boleh Baharu, yang akan menjadi panduan utama dalam usaha peralihan tenaga serantau untuk dekad akan datang.

Dalam pada itu, Malaysia bakal memainkan peranan penting dalam mendapatkan persetujuan semua negara anggota agar kedua-dua dokumen ini dijadikan rujukan utama, khususnya dalam mempercepatkan agenda APG. 

Langkah ini meletakkan Asean pada landasan lebih kukuh untuk meningkatkan integrasi tenaga rentas sempadan, memperluas penggunaan tenaga bersih, dan mengoptimumkan sumber tenaga boleh baharu bagi manfaat semua negara anggota.

Tenaga solar menjadi antara sumber utama dalam agenda peralihan tenaga bersih Asean, seiring usaha memperkukuh kebergantungan kepada sumber yang mampan dan mesra alam.

Peserta persidangan AMEM terdiri daripada Negara-Negara Anggota Asean, Timor Leste (pemerhati), serta rakan dialog seperti China, Jepun, Korea, India, Australia dan Amerika Syarikat. 

Turut serta ialah organisasi antarabangsa berpengaruh seperti International Energy Agency (IEA), International Renewable Energy Agency (IRENA), Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA), Bank Dunia, serta Asian Development Bank (ADB).

Antara sorotan utama acara sepanjang AMEM ialah pelancaran dokumen strategik Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga Asean (APAEC) 2026–2030, pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) untuk Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid - APG) dan Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (ASEAN Petroleum Security Agreement - APSA).

Selain itu, Dialog Menteri–Ketua Pegawai Eksekutif, Anugerah Tenaga ASEAN, serta mesyuarat berkaitan seperti SOME+3 dan Mesyuarat Menteri Tenaga Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS EMM) juga akan diadakan menerusi AMEM kali ini.

Artikel Lain

Ibu Hafiz Suip meninggal dunia