suria

Layanan rejim Zionis lebih kejam berbanding 2016... Dr Fauziah cerita ada aktivis dipukul, ditendang dalam tahanan

Dr. Fauziah mengakui pengalamannya ke Gaza kali ini lebih mencabar.

LAYANAN yang diterima aktivis kemanusiaan, Dr Fauziah Mohd Hassan dalam tahanan rejim Zionis kali ini disifatkan jauh lebih kejam dan tidak berperikemanusiaan berbanding tahun 2016.

Dr. Fauziah mengakui misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) kali ini jauh lebih mencabar dan penuh tekanan berbanding penyertaannya sembilan tahun lalu.

“Layanan mereka kali ini memang kasar. Dulu, tentera Israel datang tanpa memakai topeng dan cuba tunjuk baik di depan dunia. Tapi kali ini semuanya bertopeng, bersenjata dan menggunakan kekerasan sejak awal.

"Namun, apa yang kami lalui ini tidak seberapa berbanding penderitaan rakyat Gaza. Jangan fokus pada apa yang kami alami tetapi lihatlah apa yang dilalui rakyat Palestin,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Syukur... 9 aktivis kemanusiaan Malaysia selamat tiba di KLIA

Dr. Fauziah berkata ada aktivis yang dipukul, ditendang dan disiku ketika dalam tahanan.

Tambahnya, walaupun dia tidak dicederakan secara fizikal, proses penahanan itu tetap meninggalkan kesan emosi yang mendalam.

“Saya sendiri diarahkan duduk berjam-jam di atas tembok kapal dan dikumpulkan beramai-ramai dalam ruang sempit seperti kandang,” katanya.

Terdahulu, Dr. Fauziah antara sembilan aktivis Malaysia selamat tiba di tanah air pada petang Ahad selepas melalui detik cemas ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa.

Pesawat yang membawa kesemua aktivis itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.55 petang.

Artikel Lain

Ibu Hafiz Suip meninggal dunia