MAJLIS malam berinai yang berlangsung dalam suasana meriah bertukar menjadi detik tidak dapat dilupakan bagi pengantin perempuan dan seluruh ahli keluarganya.
Manakan tidak, secara tiba-tiba salah seorang ahli keluarga yang turut sama memeriahkan majlis itu mengadu sakit sebelum dia melahirkan seorang bayi lelaki.
Berdasarkan dua video yang dikongsi Afzaweina di TikTok [Tonton Video], bayi lelaki itu dilahirkan di rumah pada Jumaat dengan disambut oleh neneknya serta saudara mara bakal pengantin.
Menurut ahli keluarga, dia menyedari si ibu yang sarat hamil itu kelihatan pucat serta menahan sakit dan berpeluh.
Beberapa minit selepas itu, dia mengadu sakit perut sebelum akhirnya disahkan sedang dalam proses melahirkan anak.
"Saya tanya dia sebab muka nampak macam nak bersalin... tapi dia diam. Lepas tu baru dia cakap dah sakit," kata ibu saudara wanita itu.
Sementara itu nenek kepada bayi yang dilahirkan itu berkata dia bagaikan tidak percaya dengan kejutan berkenaan namun pada masa sama bersyukur kerana anak dan cucunya selamat.
"Macam tak percaya pula dia bersalin di rumah, pertama kali berlaku buat kami," katanya.
Bagi adik pengantin perempuan pula, dia secara berseloroh menyifatkan kejadian berkenaan sebagai 'tragedi Oktober', seperti tajuk lagu yang dirakamkan Datuk Awie pada 1994.
"Malam tu ialah malam berinai kakak saya, tak sangka pula malam berinai jadi tragedi Oktober," katanya.
Lokasi kejadian bagaimanapun tidak dinyatakan Afzaweina.


