suria

Syukur... 9 aktivis kemanusiaan Malaysia selamat tiba di KLIA

Sembilan sukarelawan Malaysia selamat tiba di tanah air sekitar pukul 3.55 petang Ahad.

SEMBILAN aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) selamat tiba di tanah air petang Ahad selepas melalui detik cemas ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa.

Pesawat yang membawa kesemua aktivis itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 3.55 petang.

Kepulangan mereka disambut penuh emosi oleh ahli keluarga, rakan serta pertubuhan kemanusiaan tempatan yang sejak awal mengikuti perkembangan misi tersebut.

Antara yang turut menyambut ketibaan mereka ialah isteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Pengerusi MyCARE, Datuk Seri Kamal Nasharuddin Mustapha. 

ARTIKEL BERKAITAN: 9 aktivis Malaysia ditahan Israel dijangka diterbangkan ke Turkiye

Mereka sebelum ini berlepas menuju Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan, namun kapal yang dinaiki disekat tentera laut Israel kira-kira 120 batu nautika dari Semenanjung Gaza pada Rabu, 8 Oktober.

Semua aktivis kemudian dibawa ke pelabuhan Ashdod dan ditahan beberapa hari sebelum dibebaskan serta diterbangkan ke Istanbul, Türkiye pada Jumaat.

Antara yang terlibat ialah Prof. Emeritus Dr. Mohd Alauddin Mohd Ali, Dr. Fauziah Mohd Hassan, Dr. Hafiz Sulaiman, Dr. Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh, Dr. Noorhasyimah Ismail, Syaff Sukri, Norsham Abu Bakar dan Dr. Maziah Muhammad.

Artikel Lain

Ibu Hafiz Suip meninggal dunia