suria

Kesemua calon SPM suspek kes rogol pelajar junior dibuang sekolah, ambil peperiksaan di lokasi lain

Dr Mohd Adam memaklumkan keputusan buang sekolah terhadap kesemua suspek pelajar lelaki yang disyaki merogol. -Foto Kosmo

KESEMUA pelajar lelaki yang direman selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan secara bergilir-gilir di sebuah sekolah di Melaka minggu lalu, dibuang sekolah serta merta.

Keputusan yang dibuat Lembaga Tatatertib Sekolah itu berkuat kuasa pada Isnin.

Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad kesemua suspek bagaimanapun dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar trauma dirogol 2 senior calon SPM dalam kelas, video kejadian tersebar di sekolah

Namun lokasi peperiksaan akan berada di tempat berasingan yang ditetapkan, sama ada di tempat tahanan atau di lokasi yang berasingan dari pusat di sekolah mereka.

"Kita inginkan keadilan dapat ditegakkan, Kementerian Pendidikan (KPM) bertegas mereka perlu dihukum. 

"Kebenaran untuk suspek menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia SPM tidak sama sekali bermakna mereka akan terlepas daripada hukuman.

"Ia tidak mengganggu proses undang-undang yang sedang berjalan. Hak mereka sebagai murid dan calon SPM tetap kita akan berikan, sementara kes yang melibatkan mereka akan diputuskan oleh pihak yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar khas pada Isnin.

Pada Ahad, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan empat pelajar terbabit dibenarkan menduduki peperiksaan SPM yang dijadual bermula 3 November depan.

Ujar beliau, keputusan itu dibuat untuk memastikan aspek pendidikan pelajar terbabit tidak terganggu meskipun mungkin terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Artikel Lain

Ibu Hafiz Suip meninggal dunia