suria

Kes senior perempuan maut ditikam junior di sekolah tiada unsur buli

Shamsudin memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

POLIS menafikan dakwaan bahawa kes pembunuhan seorang pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama 4 di Petaling Jaya, Selangor pada Selasa berpunca daripada kejadian buli.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang tanda menunjukkan unsur buli dalam insiden tragis itu.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat motif sebenar kejadian.

“Guru-guru yang mendengar jeritan mangsa cuba memberikan bantuan, namun apabila tiba di lokasi, pelajar tersebut sudah meninggal dunia,” katanya pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Remaja perempuan maut ditikam pelajar junior di sekolah

Menurutnya, anggota polis kini berada di sekolah berkenaan untuk merakam keterangan daripada pelajar dan guru, termasuk murid-murid serta rakan sekelas mangsa dan suspek.

“Kami akan memohon perintah tahanan reman bagi membantu siasatan,” katanya.

Shamsudin berkata, maklumat lanjut akan dimaklumkan selepas laporan bedah siasat selesai.

Tambahnya, dalam kejadian berhampiran tandas perempuan itu, pihaknya turut merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam insiden tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -The Star

 

 

Artikel Lain

Ibu Hafiz Suip meninggal dunia