PERASAAN cemburu dipercayai mendorong seorang lelaki bertindak kejam dengan menetak dan menikam rakan serumahnya menggunakan parang serta pisau hingga maut sebelum menggantung diri sendiri pada Selasa.
Dalam kejadian sekitar pukul 7 malam, kedua-dua mangsa warga Bangladesh itu ditemui mati di sebuah rumah teres setingkat di Taman Cempaka 2 di Durian Tunggal, Melaka.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata siasatan awal mendapati mangsa berusia 42 tahun mengalami 21 kesan tikaman pada badan, manakala seorang lagi lelaki berusia 31 tahun ditemukan tergantung di kipas siling dalam bilik rumah berkenaan.
“Mangsa ditemukan terbaring berlumuran darah di bahagian dapur dengan kecederaan parah di kepala dan badan.
“Pemeriksaan lanjut turut menemukan dua bilah pisau dan sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragis... suami bunuh diri, 2 anak selepas isteri mengaku lakukan seks dengan rakan sekerja
ARTIKEL BERKAITAN: Suami menggeletar jumpa video seks isteri, dalam diam sakan layan nafsu dengan rakan sekerja!
Beliau memaklumkan, kedua-dua mangsa bekerja sebagai buruh binaan dan menyewa bersama seorang lagi rakan senegara yang kebetulan tiada di rumah kerana keluar bekerja ketika kejadian berlaku.
Siasatan awal mendapati insiden berdarah itu berpunca daripada masalah peribadi serta perasaan cemburu membabitkan seorang wanita warga Indonesia yang merupakan isteri kepada mangsa berusia 31 tahun.
“Hasil siasatan mendapati mangsa berusia 42 tahun dibunuh oleh lelaki yang menggantung diri. Motif dipercayai berpunca daripada cemburu.
“Lelaki yang menggantung diri itu berkahwin dengan wanita warga Indonesia yang tinggal bersama di rumah berkenaan, namun wanita itu melarikan diri membawa seorang anak kira-kira dua minggu lalu,” jelasnya.
Polis tidak menolak kemungkinan berlaku perselingkuhan antara isteri lelaki itu dan rakan serumahnya yang maut akibat tikaman.
Menurut beliau, jiran berhampiran turut mendengar bunyi pertengkaran dari rumah tersebut sebelum kejadian disedari sekitar pukul 7 malam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.


