REMAJA lelaki yang disyaki menikam pelajar perempuan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama 4 di Petaling Jaya, Selangor, direman tujuh hari.
Perintah itu dikeluarkan Majistret, Shahril Anuar Ahmad Mustapha di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Rabu, susulan permohonan pihak polis bagi membantu siasatan lanjut.
ARTIKEL BERKAITAN: Remaja perempuan maut ditikam pelajar junior di sekolah
Suspek berusia 14 tahun yang juga pelajar Tingkatan Satu (Kelas Peralihan) direman sehingga Selasa minggu depan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketika prosiding berlangsung, suspek yang memakai baju oren diwakili peguam, Anuar Ezzad.
Pada Selasa, seorang pelajar perempuan di SMK Bandar Utama 4, Petaling Jaya maut selepas dipercayai ditikam juniornya semasa sesi persekolahan berlangsung.
Dalam kejadian sekitar pukul 9.30 pagi itu, suspek dilaporkan membawa senjata tajam, dipercayai pisau, ke sekolah.


