KETIKA orang ramai masih terkejut dengan berita dua beranak ditemukan mati dipercayai dibunuh, tular satu rakaman suara seorang lelaki dipercayai suami serta bapa mangsa.
Dipercayai juga audio berdurasi 18 saat itu dikirim lelaki terbabit kepada rakannya melalui aplikasi WhatsApp bagi memaklumkan dia tidak dapat hadir bekerja ekoran kejadian tragis itu.
“Assalamualaikum Daus, esok (Ahad) abang tak kerja tau, isteri aku dengan anak aku kena bunuh dekat rumah.
"Aku balik-balik tengok pintu terbuka, aku tengok bini aku melimpah darah, anak pun kena bunuh,” katanya menerusi audio tersebut yang tersebar sejak Sabtu.
Dalam kejadian yang dilaporkan berlaku sekitar pukul 7.30 malam Sabtu, lelaki berkenaan dikatakan menemukan mayat isterinya berusia 51 tahun dan anak perempuan mereka berumur 11 tahun di rumah sewa di Kampung Sekolah di Juru, Pulau Pinang.
ARTIKEL BERKAITAN: Mayat dua beranak ditemukan dalam keadaan mengerikan, dipercayai dibunuh
Mayat wanita ditemukan di bahagian dapur di tingkat bawah dalam keadaan mengerikan dengan kepalanya hampir putus, manakala anaknya ditemui meniarap dan berlumuran darah di tingkat atas rumah.
Susulan kejadian, polis bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti motif serta suspek yang terlibat dalam pembunuhan tersebut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan kejadian tersebut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


