suria

[V] Rakaman bapa saudara cuci barangan arwah Mustaqqeem undang sebak... Keadaan kasut diikat kain putih cetus tanda tanya

Bapa saudara membersihkan pakaian dan kelengkapan yang digunakan arwah semasa mendaki gunung.

PAKAIAN, kasut dan beg yang menemani perjalanan terakhir Allahyarham Mustaqqeem Mansoor di Gunung Liang, Perak menjadi saksi kerinduan ahli keluarga terhadap arwah.

Sebuah video yang dikongsi ibu saudara arwah menggunaakan akaun TikTok InZana [Tonton Video] mengundang rasa pilu apabila kelihatan bapa saudaranya membersihkan barang-barang tersebut sambil menitipkan rasa rindu yang mendalam.

“Kami reda, tapi pakcik rindu kamu Akim (Mustaqqeem). Air mata menemani sepanjang membersihkan barangmu.

"Semoga Mustaqeem tenang di sana dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman," tulisnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga Mustaqqeem pertimbang ambil tindakan undang-undang - “Tak puas hati pasal apa tinggalkan dia”

Video berdurasi pendek itu turut memperlihatkan betapa rapi barangan arwah dijaga dan dibersihkan meskipun sarat dengan kenangan yang cukup menyayat hati.

Menerusi hantaran berbeza di TikTok, InZana juga menunjukkan gambar kasut digunakan arwah ketika mengikuti ekspedisi pendakian sebelum dia menemui ajal.

Kelihatan kedua-dua belah kasut berkenaan diikat dengan kain putih dipercayai bagi mengelak daripada tapaknya tertanggal.

"Kaki dia pasti sakit kalau dilihat pada keadaan kasut arwah Mustaqqeem.

"Kalau call 999 mungkin dia tak keseorangan atas tu," tulisnya lagi.

Allahyarham Mustaqqeem dilaporkan meninggal dunia di puncak Gunung Liang pada Khamis, 16 Oktober  akibat hipotermia atau kesejukan melampau.

Jenazahnya ditemukan sekitar pukul 3.30 petang dan dibawa keluar keesokannya menggunakan helikopter AW189 milik Pasukan Khas Udara Bomba dari gunung yang berketinggian 1,933 meter itu.

Artikel Lain