suria

Suspek kes tikam pelajar disambung reman seminggu lagi... Polis sudah rekod keterangan 148 individu

Suspek bawah umur juga tidak terlepas daripada melalui proses perundangan seperti yang ditetapkan. -Gambar hiasan

PERINTAH tahanan reman terhadap suspek berusia 14 tahun yang terlibat dalam kes pembunuhan Yap Shing Xuen di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya dilanjutkan sehingga 28 Oktober.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya sekitar pukul 8 pagi Selasa bagi permohonan lanjutan reman.

“Reman terhadapnya sepatutnya berakhir hari ini namun dilanjutkan hingga 28 Oktober,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Setakat ini, polis merekodkan keterangan daripada 148 individu sepanjang siasatan dijalankan.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada Rabu untuk arahan lanjut,” tambahnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar mangsa bunuh ditikam 200 kali dari leher turun ke paru-paru serta kaki

Pada 16 Oktober lalu, ibu mangsa, Wong Lee Ping, mendakwa anak perempuannya mengalami kira-kira 200 kesan tikaman dan meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu atau khabar angin berkaitan kes tersebut.

Bagaimanapun, polis masih menunggu keputusan akhir laporan forensik bagi mengesahkan jumlah sebenar kecederaan dialami mangsa.

Dalam kejadian pada 15 Oktober, mangsa berusia 16 tahun itu dipercayai ditikam berkali-kali oleh suspek di tandas perempuan sekolah berkenaan.

Polis turut merampas dua bilah pisau dan sebilah kerambit daripada suspek. -The Star

Artikel Lain