SEORANG kanak-kanak maut akibat strok haba selepas tertinggal di dalam sebuah kereta selama tiga jam dekat Kampung Tanah Putih, Gua Musang di Kelantan, pada Isnin.
Sebelum kejadian, mangsa yang berusia empat tahun baru sahaja pulang dari sarapan bersama keluarganya.
Dia bagaimanapun, tertinggal di dalam kereta berikutan keluarganya terlupa membawanya masuk ke dalam rumah.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima maklumat mangsa tidak sedarkan diri dalam kereta sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Gua Musang kira-kira pukul 3.50 petang.
Tambah beliau, hasil bedah siasat yang dijalankan Pakar Patologi Forensik Hospital Gua Musang mengesahkan punca kematian adalah strok haba.
Mangsa merupakan anak bongsu daripada dua beradik.
Orang awam diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.


