SEORANG pelajar Tingkatan Satu (Kelas Peralihan) didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Rabu atas pertuduhan membunuh pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah dekat Bandar Utama di Petaling Jaya.
Remaja lelaki berusia 14 tahun itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh pelajar Tingkatan Tiga di bilik tandas nombor dua sekolah berkenaan antara pukul 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober lalu.
Kes dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam, Anwar Ezzad Zainal.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 21 November depan untuk sebutan semula kes.


