suria

Trump puji Malaysia sebuah negara hebat berdinamik

Trump meninggalkan Malaysia selepas lawatan dua harinya sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. -Foto Bernama

PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump, menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara yang hebat dan sangat dinamik, selepas mengakhiri lawatan dua harinya ke Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang-sidang berkaitan.

"Baru meninggalkan Malaysia, sebuah negara yang hebat dan sangat dinamik. Telah menandatangani perjanjian utama dalam perdagangan dan sumber mineral berteknologi tinggi.

"Semalam (26 Oktober), yang paling penting, menandatangani Perjanjian Damai antara Thailand dan Kemboja,” katanya di platform Truth Social pada Isnin.

Dalam hantaran yang sama, beliau turut menegaskan bahawa tiada peperangan akan berlaku (Thailand dan Kemboja).

"Tiada perang! Jutaan nyawa terselamat. Satu penghormatan besar kerana berjaya menyempurnakan perkara ini. Sekarang, menuju ke Jepun,” tambahnya.

Trump berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menaiki pesawat Air Force One pada pukul 10.06 pagi, Isnin.

Beliau dijadual meneruskan lawatan ke Jepun dan Korea Selatan sebagai sebahagian daripada siri lawatan ke Asia, selain turut menghadiri Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec).

Trump dan Presiden China, Xi Jinping, dijangka bertemu pada Khamis di luar sesi rasmi Sidang Kemuncak Apec di Korea Selatan, pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin itu sejak tahun 2019.

Perkembangan ini mencetuskan harapan baharu terhadap penyelesaian konflik perdagangan antara kedua-dua kuasa besar berkenaan.

Ia sejajar rundingan antara pegawai kanan AS dan China di Kuala Lumpur yang memaklumkan bahawa kemajuan positif telah dicapai. -The Star

Artikel Lain