POLIS mengesahkan salah seorang suspek yang terlibat dalam kes tembakan rakyat Malaysia di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand pada Sabtu, adalah bekas pemain bola sepak pasukan Kelantan FA.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihak berkuasa kini memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand bagi memburu suspek.
ARTIKEL BERKAITAN: Sempat peluk ketika suami rebah, isteri sebak imbas detik arwah Mohd Fuad ditembak 18 das depan mata
Tambahnya, setakat ini polis Kelantan masih belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada pihak berkuasa Thailand berhubung kejadian tersebut.
Berdasarkan semakan, suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an pernah beraksi di posisi penjaga gol Kelantan dan melebarkan kariernya di Liga Thailand.
Media terdahulu melaporkan seorang rakyat Malaysia, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, maut ditembak dua individu di rumahnya dalam kejadian pada lewat petang Sabtu.
Hasil bedah siasat mendapati terdapat 18 kesan tembakan pada tubuh mangsa, termasuk di bahagian badan dan leher.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada pukul 2.30 petang Ahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Apam Putra, Pasir Mas.


