TULAR rakaman video seorang kanak-kanak lelaki ditendang beberapa kali di bahagian muka ketika sedang duduk di pembahagi jalan, selepas dituduh mencuri 'power bank'.
Berdasarkan rakaman awal, kanak-kanak berusia 12 tahun itu pada awalnya ditangkap oleh seorang individu dan dikilas tangan kirinya.
Pada masa sama dia turut disepak di bahagian kaki sebelum dikepung oleh tiga lelaki ketika duduk di pembahagi jalan.

Tangkap layar tangan kiri kanak-kanak ini dikilas.
Ketika disoal siasat, dia sekali lagi ditendang oleh individu sama di bahagian muka sebanyak tiga kali.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 8.15 malam di Medan Selera Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur, 31 Oktober lalu.
Menerusi perkongsian Faizal Rusli Facebook, laporan polis telah dibuat berhubung kekerasan yang dilakukan terhadap kanak-kanak terbabit.
ARTIKEL BERKAITAN: Lagi video pukul budak tersebar... Caprice kongsi aksi individu mirip pelaku kes tumbuk pelajar sampai patah tulang hidung
"Kenapalah buat sampai macam tu, budak 12 tahun kena pukul sampai macam tu sekali.
"Laporan polis telah dibuat, tapi diaorang (pelaku) dah lari, minta tolong info kalau jumpa tiga orang pelaku ni.
"Bawa ke balai atau hubungi saya," ujarnya sambil berkongsi wajah tiga individu yang dikaitkan dengan kekerasan terhadap kanak-kanak berkenaan.

Warga maya meluahkan rasa marah dengan tindakan tiga individu terbabit.
Dalam pada itu, dia turut menzahirkan ucapan terima kasih terhadap pekerja gig yang membantu kanak-kanak berkenaan.
"Terima kasih abang Grab yang tolong malam tu, tapi dia dimaki dan dihalau pula... kalau tak ada abang tu, tak tahulah apa jadi pada budak ni," tambahnya.
Hantaran yang dibuatnya itu mengundang pelbagai reaksi netizen.
Meskipun marah dengan sikap kanak-kanak terbabit yang didakwa banyak melakukan jenayah curi di kawasan sekitar, namun tindakan memukulnya adalah tidak wajar.


