BALU Allahyarham Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, lelaki yang maut ditembak dalam kejadian tragis di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand, pada Sabtu, tidak dapat menahan sebak ketika mengimbas kembali insiden yang meragut nyawa suaminya.
Memetik laporan Sinar Harian, Wan Fatihah Mat Hussin, 35, berkata ketika kejadian sekitar pukul 6.40 petang waktu Thailand, arwah suaminya sedang memasang kamera litar tertutup (CCTV) di rumah mereka sebelum dua individu bersenjata datang dari arah belakang.
ARTIKEL BERKAITAN: Ditembak di rumah, rakyat Malaysia di Golok maut
"Tembakan demi tembakan dilepaskan ke arah suami. Saya berlari ke arahnya dan sempat memeluk selepas dia rebah.
"Suspek melepaskan tembakan sehingga habis peluru sebelum mereka melarikan diri.
"Saya menjerit meminta tolong orang sekeliling," katanya sebak ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Apam Putra, Pasir Mas, pada Ahad.
Wan Fatihah yang kini sedang sarat hamil anak sulung hasil perkahwinannya dengan arwah berkata, hasil bedah siasat mendapati terdapat 18 kesan tembakan pada tubuh suaminya, termasuk di bahagian badan dan leher.
Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang dikenali sebagai Ahmad, 55, memaklumkan bahawa dua suspek yang disyaki terbabit dalam kejadian itu dipercayai adik-beradik serta merupakan sepupu kepada Wan Fatihah.
"Setakat ini, kami belum mendapat maklumat lanjut sama ada kedua-duanya sudah ditahan oleh pihak berkuasa Thailand atau belum," katanya.
Jenazah Allahyarham Mohd Fuad Fahmie selamat dikebumikan pada pukul 2.30 petang Ahad.
Terdahulu, Allahyarham yang berasal dari Kampung Kepas Apam, Pasir Mas, disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Golok pada Sabtu malam, selepas dua jam bertarung nyawa akibat parah ditembak.


