BAPA kepada murid tahun empat yang ditemukan meninggal dunia di tandas sebuah sekolah di Senawang, Negeri Sembilan pada 1 Oktober lepas mendakwa anaknya pernah menerima ugutan mati sehari sebelum kejadian.
Menurut Muhammad Hafizuddin Abdullah, 40, anaknya, Iman Zhafran, 10, ada memberitahu kakaknya mengenai ugutan itu kerana mereka tidur sebilik.
“Malam sebelum kejadian (30 September), Iman mengadu kepada kakaknya bahawa ada murid ugut nak tengok dia mati esok.
"Tapi kakak tak sempat bagitahu kami sebab masa tu kami dah tidur,” katanya pada Isnin seperti dipetik daripada laporan Sinar Harian.
Muhammad Hafizuddin berkata, dia hanya mengetahui mengenai ugutan tersebut selepas disoal siasat oleh pihak polis sehari selepas kejadian tragis itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan bedah siasat dapati punca kematian murid darjah 4 akibat tekanan pada leher
ARTIKEL BERKAITAN: Murid darjah 4 maut dalam tandas sekolah, polis siasat kemungkinan kes buli
Sebelum ini, Iman Zhafran dilaporkan ditemukan tidak sedarkan diri di dalam tandas sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.
Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kerana tekanan pada leher tanpa kecederaan lain pada tubuh.
Tambahnya lagi, pihak polis turut menemukan nota bertulis dalam buku milik arwah yang mengandungi mesej berbaur ugutan.
“Dalam buku arwah, ada tulisan berbunyi saya nak awak mati… saya tak tahu awak akan masuk syurga atau neraka. Itu yang polis tunjuk pada kami,” katanya.
Susulan itu, keluarga mangsa menuntut siasatan penuh dan telus bagi mengenal pasti sama ada ugutan berkenaan mempunyai kaitan dengan kematian anaknya.
“Kami hanya mahu keadilan. Kalau benar ada unsur buli atau ugutan, siasat sampai habis. Anak saya tak sepatutnya pergi dengan cara begini,” katanya.


