SEORANG wanita tidak menyangka video yang dirakam ketika lalu di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur secara tidak sengaja merakam detik seorang penyeluk saku mencuri dompet.
Menerusi hantaran di TikTok pada Ahad [Tonton Video], wanita yang dikenali sebagai Fifie berkongsi keadaan sekitar lokasi tumpuan berkenaan yang dipenuhi pengunjung, sebelum menyedari tentang kejadian jenayah tersebut.
Menurut Fifie, nilai kerugian berjumlah RM8,200, melibatkan RM3,200 tunai dan dua keping dinar emas, yang merupakan hasil jualan kuih muih milik wanita berkenaan.
"Tolong share ramai-ramai, area Bukit Bintang berhadapan dengan lampu isyarat Lot 10. Jumlah kerugian RM8,200, dalam dompet ada tunai RM3,200 dan dua syiling dinar.
"Semoga orang (lelaki) ni kena tangkap secepat mungkin. Sebarang info sila hubung Balai Polis Dang Wangi," katanya.
Menurutnya, ketika kejadian, dia merakam suasana menggunakan telefon yang dipegang dengan skrin menghala ke belakang dan tidak menyedari perbuatan jenayah itu dilakukan.
“Langsung tak perasan kerana telefon dipegang dengan skrin menghala ke belakang dan berada di posisi atas bahu,” katanya menjawab pertanyaan netizen mengapa dia tidak menjerit selepas melihat perbuatan tersebut.
Tambah Fifie, mangsa hanya menyedari kehilangan dompet selepas diberitahu oleh rakan yang perasan begnya dalam keadaan terbuka.
Perakam video ini dipercayai anak buah kepada mangsa dan hanya melihat semula video ini apabila pulang ke rumah.
Menerusi video berdurasi sembilan saat itu, mangsa memakai beg sandang belakang di mana dompetnya diletakkan di ruang belakang beg menjadi sasaran seorang lelaki memakai topi.
Lelaki tersebut yang memakai baju berwarna hitam dengan pantas membuka zip beg dan mengambil dompet mangsa sebelum kemudiannya berlalu pergi.


