SALAH seorang suspek kes tembak rakyat Malaysia di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand pada Sabtu lalu sudah ditahan.
Suspek berkenaan yang merupakan bekas pemain Kelantan FA tahun 2019 ditahan pada Ahad malam selepas tampil menyerah diri di Balai Polis Sungai Golok.
Suspek turut menyerahkan pistol yang digunakannya kepada pihak berkuasa negara tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas penjaga gol Kelantan FA salah seorang suspek kes tembakan di Sungai Golok
Jurucakap pasukan keselamatan memberitahu, semakan pihaknya mendapati suspek yang barusia 30-an mempunyai dua kerakyatan iaitu Thailand dan Malaysia.
Terdahulu, media melaporkan seorang rakyat Malaysia, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, maut ditembak dua individu di rumahnya dalam kejadian pada lewat petang Sabtu.
Hasil bedah siasat mendapati terdapat 18 kesan tembakan pada tubuh mangsa, termasuk di bahagian badan dan leher.
Jenazah selamat dikebumikan pada pukul 2.30 petang Ahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Apam, Apam Putra, Pasir Mas, Kelantan.


