SEORANG lelaki warga emas berusia 81 tahun ditahan selepas disyaki bersekedudukan dengan seorang wanita berusia 69 tahun di sebuah rumah di Lubok China, Alor Gajah di Melaka pada Isnin malam.
Serbuan yang dijalankan sekitar pukul 10 malam itu melibatkan imam, ketua kampung, anggota polis serta beberapa penduduk sebelum perkara tersebut dimaklumkan kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Difahamkan, pasangan berkenaan gagal mengemukakan dokumen sah pernikahan dan kemudiannya dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut.
Beberapa gambar serbuan turut tular di media sosial dan menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, kerana kes melibatkan pasangan warga emas.
Menurut sumber kariah masjid, lelaki berkenaan yang baru kehilangan isteri sebulan lalu merupakan seorang peniaga dan sering dilihat keluar bersama wanita terbabit.
"Penduduk sebelum ini sudah menegur tindakan pasangan warga emas itu yang kerap dilihat keluar berdua.
"Tetapi mereka bukanlah tinggal bersama di rumah itu, cuma ketika serbuan dibuat, hanya mereka berdua yang berada di dalam rumah," katanya, memetik laporan Sinar Harian.
Pasangan berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan tanpa nikah.


