EMPAT individu ditahan termasuk ibu bapa mentua kepada seorang pempengaruh bagi membantu siasatan susulan insiden pergaduhan di Taman Bertih Laut, Teluk Pulai dekat Klang di Selangor pada Ahad.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintenden Kamalariffin Aman Shah, penahanan berkenaan dibuat susulan laporan polis oleh seorang lelaki berusia 33 tahun.
Ujarnya, pengadu mendakwa insiden berlaku kira-kira pukul 2.40 petang, Ahad.
"Siasatan mendapati kejadian membabitkan perselisihan faham antara ahli keluarga isteri dengan pengadu.
"Pengadu merupakan lelaki tempatan berusia 33 tahun.
"Susulan laporan diterima, polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita berumur antara 22 hingga 59 tahun bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kamalariffin berkata kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan.
"Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan.
"Pegawai penyiasat kini dalam proses melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya," ujarnya lagi.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-3376 2222 bagi membantu siasatan.


