WANITA dikenali sebagai 'Inspektor Sheila' sekali lagi mencuri perhatian selepas didakwa mencetuskan kekecohan dengan menuduh anggota polis menahan seorang warga asing secara salah.
Kejadian itu dilaporkan berlaku pada Selasa sekitar pukul 9.30 malam, berhampiran sebuah restoran makanan segera di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Ketika kejadian, sepasukan anggota polis menahan seorang lelaki warga Pakistan berusia 34 tahun selepas mendapati dia memandu tanpa lesen yang sah.
ARTIKEL BERKAITAN: Inspektor Sheila bebas tuduhan hina peguam
Ketika pemeriksaan dijalankan, Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, yang kini digantung tugas daripada pasukan polis, tiba di lokasi dan menuduh anggota bertugas 'tidak tahu undang-undang', selain memperkecilkan tindakan mereka.
Dia turut mendakwa bahawa lelaki Pakistan itu diugut oleh polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, ketika dihubungi mengesahkan insiden berkenaan dan memaklumkan bahawa Sheila masih dalam tempoh penggantungan sejak 23 Jun 2023.
"Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 atas kesalahan berkelakuan tidak senonoh atau menghina di tempat awam," katanya.
Sebuah video turut tersebar di media sosial, menunjukkan Sheila menjerit kepada beberapa anggota polis sambil merakam menggunakan telefon bimbitnya.
Rakaman itu kini tular dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.
Untuk rekod, pada Jun 2023, Sheila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang atas tiga pertuduhan jenayah iaitu mengugut dan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis berpangkat lans koperal dan dua orang awam.


