KISAH menyayat hati tular di laman Threads apabila seorang wanita, pada Khamis berkongsi luahan pilu tentang suaminya yang terbabit dalam kemalangan ketika pulang dari tempat kerja.
Wanita berkenaan yang dikenali sebagai Mas, suami tersayang sudah pun dalam perjalanan pulang ke rumah namun berpatah balik ke tempat kerja selepas menyedari dia tertinggal susu formula anaknya.
Bagaimanapun takdir menentukan suaminya, Muhammad Amir maut apabila terbabit dalam kemalangan sebelum sempat sampai ke rumah setelah mengambil susu yang tertinggal.
"Awak sudah balik kerja sayang. Tapi patah balik tempat kerja sebab tertinggal susu anak dekat tempat kerja. Al-Fatihah sayangku, Muhammad Amir.
"Satu tahun 10 bulan Allah pinjamkan awak buat saya dan anak," ujarnya dalam posting berkenaan.
Luahan itu membuat ramai warganet sebak apatah lagi apabila melihat gambar susu tepung yang tumpah di atas jalan raya.
"(Tepung) Susu yang tumpah jadi saksi kasih yang kekal selamanya. Moga Allah tempatkan dia di syurga para ayah yang berkorban demi anaknya.
"Saya mampu telefon ambulans je. Tak sampai seminit ramai dah yang datang tolong semalam (Rabu). Sebak tengok susu bersepah atas jalan," komen beberapa netizen.
Dalam satu lagi hantaran terbaharu, Mas turut berkongsi bahawa dia bakal 'berjumpa' dengan suaminya namun tidak dinyatakan lokasi.
"Ya Allah, kuatkanlah aku bertemu dengan suamiku sekejap lagi. Mas kuat," tulisnya di Threads.
Sehingga ini, masih belum ada maklumat lanjut atau laporan rasmi daripada pihak polis mengenai kejadian tersebut.


