SARANAN Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenai had umur minimum pengguna media sosial kepada 16 tahun dilihat bertepatan dengan fasa kematangan kognitif sosial golongan itu.
Pakar Kaunseling dan Psikologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Fauziah Mohd Sa’ad berkata, seiring peningkatan usia, mereka juga mempunyai kemahiran menilai risiko, memahami implikasi tingkah laku digital dan lebih stabil daripada segi emosi.
Tambahan pula, remaja di usia tersebut sudah memasuki fasa persediaan ke alam dewasa.
"Mereka membawa peranan tanggungjawab akademik dan sosial yang lebih jelas.

Fauziah berpandangan langkah tersebut dapat melindungi tahap psikologi dan emosi kanak-kanak.
"Had umur 16 tahun memberi ruang kepada remaja membina daya tahan, kemahiran kawalan diri dan kematangan sosial secara lebih organik sebelum terdedah kepada dunia digital yang tidak terkawal," jelasnya kepada mStar.
Rasionalisasi pelaksanaan
Ujar Fauziah lagi, selain menepati perkembangan kognitif golongan sasar, langkah ini dapat melindungi tahap psikologi, emosi dan keselamatan digital kanak-kanak.
Seterusnya, ia membolehkan kanak-kanak melalui peringkat perkembangan penting tanpa gangguan mahupun tekanan digital yang berlebihan.
"Ia selaras dengan trend global yang menilai semula akses awal kepada platform yang tinggi risiko seperti buli siber, eksploitasi dalam talian, ketagihan media sosial, gangguan imej diri dan pendedahan kepada kandungan tidak sesuai," tambahnya.
Malah baginya, cadangan yang dikemukakan kerajaan itu berfungsi sebagai langkah pencegahan awal untuk mengurangkan isu sosial yang berlaku dalam kalangan remaja masa kini.

Had umur dapat membantu melindungi tahap psikologi, emosi dan keselamatan digital kanak-kanak.
"Langkah ini mampu mengurangkan kadar pendedahan awal kepada risiko media sosial secara signifikan seperti buli siber, kecelaruan imej tubuh, isu kesihatan mental, serta risiko eksploitasi seksual dalam talian," jelasnya.
Capaian keberkesanan
Walau bagaimanapun, Fauziah berpandangan keberkesanan maksimum dapat dicapai jika dasar tersebut disokong dengan penguatkuasaan teknologi seperti Pengenalan Pelanggan Secara Elektronik (eKYC) serta pendidikan digital berterusan di sekolah dan komuniti.
Selain itu, kerjasama platform media sosial untuk pemantauan konten dan akaun palsu juga perlu diselaraskan.
"Pendekatan ini memerlukan komunikasi strategik dan libat urus menyeluruh yang mana kerajaan perlu menjelaskan konsep berdasarkan data serta kajian, bukan sekadar pendekatan kawal selia.
"Selain itu, wujudkan garis panduan jelas kepada ibu bapa, sekolah dan komuniti tentang peranan masing-masing dalam mendidik literasi digital dan kesihatan mental.

Kanak-kanak dapat melalui peringkat perkembangan penting tanpa tekanan digital yang berlebihan.
"Perlu wujudkan kerjasama dengan platform digital untuk menyediakan mekanisme kawalan usia yang telus serta program keselamatan kanak-kanak.
"Di samping itu, buka ruang dialog terbuka supaya masyarakat, profesional dan anak muda sendiri dapat memberikan pandangan sekali gus memastikan pendekatan seimbang antara kebebasan dan keselamatan," jelas beliau.
Pandangan organik
Dalam pada itu, bekas Pegawai Penyiasat Jenayah D11 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak, Inspektor Nurhidayah Omar berkata, cadangan itu sejajar dengan corak pemikiran golongan terbabit yang jauh lebih matang dan berkeupayaan memberi pandangan kritis.

Nurhidayah memaklumkan remaja di usia 16 tahun dapat memberi pandangan yang kritis.
"Mereka di usia ini sudah melalui fasa alam baligh dan bergerak satu langkah ke alam pra-dewasa, malah ada yang boleh menjadi sahabat kepada ibu bapa dan guru.
"Tidak kurang juga yang bersikap terbuka untuk memberikan pendapat serta pandangan terhadap perkara yang berlaku pada diri mereka mahupun persekitaran luar," ujarnya.
Walau bagaimanapun tegas Nurhidayah, semua pihak perlu mengambil tanggungjawab untuk memberi pendedahan dan kesedaran mengenai masalah-masalah pedofilia serta penyebaran bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) kepada golongan ini.
Baginya, tindakan itu dapat memantapkan pengetahuan golongan sasar tentang bahaya ancaman seksual alam maya kepada diri mereka.
"Pihak media juga perlu lebih kuat mempromosikan pendekatan kerajaan dalam membendung masalah ini dari terus mengancam keselamatan anak-anak kita di peringkat usia muda," tambahnya.


