TIGA maut manakala tiga yang lain cedera dalam kebakaran melibatkan sebuah kontena di atas kapal MSC Kyparissia yang berlabuh di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), dekat Iskandar Puteri, tengah hari Jumaat.
Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Johor, Mohamad Anuar Mohamad Amdzah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.23 tengah hari.
"Sepasukan anggota bomba tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian dan mendapati kebakaran berlaku di bahagian bawah pintu geladak Blok 5 ketika kerja-kerja memunggah kontena sedang dijalankan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, tiga mangsa yang disahkan meninggal dunia ialah lelaki warga Malaysia berusia 59 tahun, warga Filipina berusia lingkungan 40-an, dan seorang warga Britain juga berusia 40-an, yang kesemuanya merupakan pekerja kapal berkenaan.
Tiga lagi mangsa yang cedera dikenal pasti sebagai seorang lelaki Malaysia berusia 26 tahun dan dua warga Filipina, masing-masing berusia sekitar 40-an.
"Mereka yang cedera telah dihantar ke sebuah hospital swasta di Iskandar Puteri untuk menerima rawatan lanjut," tambahnya.
Anuar berkata, usaha awal memadam kebakaran telah dijalankan oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat PTP menggunakan dua buah bot tunda sebelum pasukan bantuan tiba.
"Pos Kawalan Hadapan (PKH) telah dibuka di lokasi dan operasi pemadaman masih dijalankan bersama pihak PTP," katanya lagi.


