SEJAK keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 diumumkan pada Khamis, pelbagai keletah dan kisah kegembiraan dapat kita saksikan di media sosial.
Namun di sebalik momen-momen manis dikongsikan, terselit satu kisah duka dikongsikan seorang ibu dikenali sebagai Yatie mengenai cara anaknya meraikan keputusan SPM.
Menerusi video dimuat naik di TikTok, anak gadis Yatie memilih untuk menyemak keputusan SPM di sisi pusara arwah abangnya, Muhammad Aiman Danial yang meninggal dunia pada Oktober 2024.
Tangkap layar perkongsian menunjukkan momen sebak dimuat naik di TikTok.
Lebih memilukan, remaja itu dikatakan pernah berjanji dengan arwah abangnya untuk menyemak keputusan tersebut bersama-sama apabila tiba hari penentu itu.
“Orang yang paling teruja nak lihat result SPM adik adalah abang Aiman. Abang janji saat keputusan adik keluar, dia nak turut sama ke sekolah untuk melihat kejayaan adik.
“Hari ini hanya kami saja yang dapat melihat kejayaan adik... tanpa abang Aiman di sisi. Adik tetap memilih untuk melihat keputusan SPM dia bersama-sama dengan abang di 'rumah baru',” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Kubur destinasi pertama selepas jawab kertas terakhir SPM! Pelajar sebak kenang rakan hilang selamanya selepas tak nampak kelibat masa main futsal
ARTIKEL BERKAITAN: Bapa minta ‘kejar A’, anak pergi kubur arwah sebut setiap keputusan SPM sambil nangis - “Kak Chik tahu 9A pun mesti ayah bangga”
Menerusi rakaman berdurasi lebih satu minit itu, jelas kelihatan suasana penuh sayu ketika remaja perempuan itu membuat semakan keputusan di tepi pusara abangnya.
Remaja tersebut dilihat menyapu air mata sambil memegang telefon dan ditemani bapanya di sisi yang turut menantikan keputusan anak gadisnya itu.
Menurut Yatie, anaknya tetap berjaya memperoleh keputusan membanggakan walaupun tidak mencapai target yang diimpikan.
Dia berjaya untuk meneruskan perjuangan ini dengan beban yang sangat berat.
YATIE
IBU
"Walaupun adik tak dapat nak capai target yang dia nak, tapi dia berjaya untuk meneruskan perjuangan ini dengan beban yang sangat berat.
"Terima kasih ya Allah atas nikmat dan kasih sayang yang engkau berikan buat kami sekeluarga," jelasnya.
Pada penghujung video, Yatie turut berkongsi foto menunjukkan anaknya memperoleh 5A dalam keputusan SPM bagi sesi 2024.
Yatie dan anaknya mengambil keputusan SPM di sekolah selepas melawat pusara arwah.
Perkongsian video berkenaan meraih ribuan tontonan dan reaksi netizen yang rata-rata tersentuh hati.
Ramai yang memuji kekuatan dan semangat remaja berkenaan serta mendoakan agar keluarga itu terus diberi ketabahan.
"Sedihnya, semoga adik terus maju di masa akan datang. Ingat abang selalu.
"Tahniah adik, kerja menangis je saya harini, al-Fatihah buat abang adik. Amin," komen beberapa netizen.