KEMELUT selepas penceraian pasangan pempengaruh Jofliam dan Cik Epal terus hangat menjadi perbualan warga maya.
Keadaan semakin kecoh apabila berlaku pula pergaduhan antara Cik Epal dengan isteri baharu Jofliam iaitu Emira Delyati atau Dewi pada Isnin.
Susulan kekecohan itu, pendakwah bebas Da'i Wan Dazrin menyeru dua usahawan dan pempengaruh tersebut agar menghentikan segera persengketaan antara mereka.
Insiden pergaduhan antara Cik Epal, Dewi dan Jofliam kecoh menjadi bualan netizen.
Menerusi hantaran panjang lebar di Instagram, Da'i Wan turut memohon Jofliam dan Cik Epal untuk menyelesaikan kemelut antara mereka secara tertutup.
"Minta maaf Cik Epal dan Encik Jofliam. Saya rasa anda berdua dah boleh berhenti. Sudah-sudahlah. Tak habis saling menyalahkan, saling bertegang urat dan sindir menyindir.
"Selesaikan hal keluarga anda di belakang tabir. Jangan jadi punca fitnah, jangan jadi punca rantaian dosa yang akan buat anda berdua kesal di hari akhirat," tulisnya.
Saya yang dalam bidang agama tak larat lagi nak tengok semua ini lalu di semua newsfeed saya.
DA'I WAN DAZRIN
PENDAKWAH BEBAS
Menurut Da'i Wan lagi, Cik Epal dan Jofliam perlu mencari jalan damai seperti yang disarankan oleh agama Islam.
Malah katanya, dia sendiri penat melihat paparan media sosial mengenai kes mereka yang tidak pernah berkesudahan.
"Saya cukup tak suka nak campur hal rumah tangga orang, tapi saya lihat kalian berdua tidak tahu berhenti, melainkan authority kena turun dulu agaknya.
ARTIKEL BERKAITAN: Cik Epal dakwa dicakar Dewi, alami luka di mata!
ARTIKEL BERKAITAN: Berlaku adegan tarik rambut, cakar mencakar di rumah Jofliam… Dewi lapor polis dakwa cedera diserang Cik Epal
"Berundurlah dari media sosial seketika dan hiduplah di belakang media sosial pula. Ciptalah jalan noktah untuk semua ini.
"Saya yang dalam bidang agama tak larat lagi nak tengok semua ini lalu di semua newsfeed saya. Penat saya mendoakan tapi kalian masih tak sedar-sedar," tulisnya lagi.
Pada Isnin, mStar melaporkan Cik Epal mendakwa dia mengalami kecederaan akibat dicederakan isteri kepada bekas suaminya.
Ia didakwa berlaku ketika Cik Epal hadir ke rumah pasangan itu untuk mengambil semula barang-barang miliknya.
Jofliam dan Cik Epal mempunyai dua cahaya mata.
Pada hari sama, Dewi turut memuat naik satu salinan laporan polis, mendakwa dia cedera akibat dikasari oleh Cik Epal.
Untuk rekod, Cik Epal dan Jofliam mengumumkan penceraian mereka pada 9 Oktober tahun lalu.
Pasangan itu mempunyai sepasang cahaya mata iaitu Han dan Yuki.
Jofliam dan Dewi pula mengumumkan mereka sudah bernikah 5 April lalu.