TAHAP kewangan seorang individu dengan individu lain sama sekali berbeza walaupun memperoleh gaji yang sama setiap bulan.
Bagi sesetengah orang, kejayaan melangsaikan hutang kenderaan biarpun ia sekadar kereta biasa, adalah satu pencapaian besar.
Pencapaian itu mungkin menandakan permulaan kepada kewangan lebih stabil, peluang untuk menyimpan, atau paling tidak pun mampu menarik nafas lega selepas bertahun-tahun membayar hutang.
Namun malangnya, wujud individu yang suka memandang rendah atau memperkecilkan pencapaian sebegini sebagaimana situasi yang dilalui oleh seorang wanita.
Tidak dinafikan ada dalam kalangan ahli keluarga atau rakan suka membandingkan pencapaian masing-masing. -Gambar hiasan
"Aku borak kosong dengan saudara aku pasal kewangan. Laki dia nak beli lagi rumah tambah aset tapi dia kata hold dulu, sebab nak nafas lega nak jalan-jalan dulu barulah fikir nak tambah hutang.
"Aku pun borak kosong je dengan dia. Laki aku punya Saga pun nak habis tahun ni. Ye la, RM500 lebih tu kira banyak juga ya untuk rakyat marhaen macam kitaorang ni.
"Boleh jadi saving lepas tu nak pegi holiday Jepun. Saja berangan-angan," tulisnya dalam hantaran di laman sosial.
ARTIKEL BERKAITAN: Murid darjah 3 menangis diejek miskin, malu dihina rakan... Rupanya bukan kali pertama - “Tak apa cikgu, saya dah biasa kena”
ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau tak ada duit, blah” - Pengasas produk angkuh herdik pelanggan B40! Jumlah tontonan sesi 'live' jatuh merudum
Namun reaksi yang diberikan oleh saudaranya benar-benar tidak terjangkau dek akal kerana apa yang diceritakan itu hanya mahu menunjukkan rasa lega, bukannya perbandingan jauh sekali menunjuk-nunjuk.
Sebaliknya ceritanya dibalas dengan kata-kata sinis seolah-olah memperlekehkan pencapaian serta impiannya.
Aku tak doakan apa pun. Cuma jangan rendahkan impian orang.
PENGADU
"Sekali saudara aku cakap 'laaa macam habis hutang Alphard pula'. Sumpah kecil hati aku. Bagi aku satu achievement juga tau kalau kita boleh tambah lagi RM500 untuk savings.
"Satu hutang habis terasa besar tau untuk orang yang biasa-biasa macam aku.
"Ye la aku ni kerja biasa-biasa je, dia nurse. Aku tak doakan apa pun. Cuma jangan rendahkan impian orang. Jangan rasa diri tu terlalu berjaya sampai lupa perasaan orang," tulisnya lagi.
Tambahnya, dia sekadar meluahkan perasaan dan mahu menyedarkan masyarakat bahawa kejayaan itu datang dalam pelbagai bentuk, tidak semestinya perlu diukur dengan wang ringgit atau harta benda semata-mata.
Sebahagian daripada komen netizen terhadap perkongsian individu berkenaan.
Di ruangan komen pula, rata-rata warga maya bukan sekadar memberikan kata semangat malah turut meluahkan rasa simpati dan memahami situasi yang dikongsikan wanita tersebut.
"Jangan pernah cerita impian kita dekat orang lain sebab manusia biasa tak akan suka dengan kegembiraan orang lain.
"Pencapaian setiap orang tak sama. Raikan sahaja. Semoga tercapai impian ke Jepun ye.
"Orang macam ni dia lupa, berjayanya dia, berhartanya dia, semua tu atas kehendak Allah. Semua tu pinjaman semata-mata. Tak perlu dongak ke langit," demikian antara komen netizen.