SEORANG wanita yang teruja menguruskan proses perkahwinannya berdepan kejutan menyedihkan apabila pegawai Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) memaklumkan status kelahirannya diragui.
Semasa pegawai memeriksa dokumen yang diserahkan termasuk sijil nikah ibu bapanya, mereka mendapati tarikh lahirnya hanya tujuh bulan selepas tarikh pernikahan ibu bapanya.
Menurutnya, pegawai pejabat agama kemudian menghubungi bapanya untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Terlanjur dalam hubungan boleh merosakkan masa depan. -Gambar hiasan
"Bapa cakap memang saya lahir awal. Jadi pejabat agama minta bukti rekod kelahiran yang mengatakan saya lahir tak cukup bulan tapi bapa cakap tiada rekod sebab dah lama.
"Kemudian pegawai di kaunter cop borang nikah tu minta saya rujuk ke pegawai bahagian undang-undang unit keluarga," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Wanita anak tak sah taraf dihalang kahwin! Mak ayah masih nak sorok rahsia terlanjur zaman muda
ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh bulan sorok kandungan, pakai baju longgar… Perbuatan wanita hamil anak tak sah taraf kantoi lepas maut diserang sawan
Susulan itu, pegawai di bahagian tersebut pula menghubungi bapanya dan bertanyakan beberapa soalan bagi mendapatkan kepastian.
"Dia tanya bapa saya pernah bersama tak dengan mak sebelum kahwin dan bapa mengaku pernah bersama dalam masa tarikh dekat nak nikah.
"Pegawai tanya lagi encik tahu tak isteri dah mengandung sebelum nikah dan bapa cakap la tak tahu sebab mak tak cakap apa-apa.
"Bapa tahu mak saya mengandung masa dua bulan lepas kahwin dia ada muntah-muntah," katanya.
- Wanita terkejut status kelahirannya diragui semasa urus borang nikah.
- Pegawai dapati dia lahir dalan tempoh tujuh bulan selepas ibu bapa bernikah.
- Bapa mengaku pernah terlanjur sebelum nikah, tapi tak tahu isteri hamil.
- Wanita perlu guna wali hakim, tiada bukti lahir tak cukup bulan.
- Netizen simpati, ada kongsi kisah serupa tapi tetap dapat nikah.
Tambah wanita itu, berdasarkan maklumat yang diperoleh, besar kemungkinan dia perlu menggunakan wali hakim kerana dikategorikan sebagai anak tak sah taraf.
"Masalahnya sekarang dah 19 tahun mak saya meninggal dunia. Jadi pening kepala saya memikirkan perkara ni.
"Sedih betul apabila dapat tahu saya ni anak tak sah taraf tapi tetap dibintikan dengan bapa saya," katanya.
Netizen yang membaca luahan wanita itu mendoakannya bersabar dan tabah dalam menempuh ujian berkenaan.
Reaksi netizen
Ada kalangan warga maya turut berkongsi pengalaman serupa apabila hanya mengetahui kebenaran apabila ingin berkahwin.
Menurut seorang netizen, bezanya dengan wanita terbabit ialah ibunya masih hidup dan ibu bapanya mengaku ketika kes dibawa ke mahkamah.
"Memang perit dan menyakitkan, kalau ikutkan hati mahu saja saya mengamuk ketika itu.
"Apa yang paling berat, saya hanya mampu fikirkan tentang perasaan bakal suami saya sama ada dia boleh terima keadaan saya ini atau tidak.
Alhamdulillah, selepas semua urusan selesai, kami tetap disatukan," katanya.