LUAHAN hati seorang wanita yang kini sedang hamil lapan bulan menarik perhatian ramai apabila dia berkongsi cabaran hidup yang dilalui bersama suami.
Sejak awal kehamilan, dia terpaksa berhenti kerja kerana mengalami komplikasi kesihatan yang menyukarkan dirinya untuk terus bertugas seperti biasa.
Sejak itu kehidupannya berubah kerana sudah tiada gaji sehingga terbit rasa sebak di dada apabila dia tiba-tiba mengidam makan laksa, namun tidak mempunyai cukup wang untuk membelinya.
"Hari ni terasa nak sangat makan laksa tapi saya tahu suami tengah tak ada duit sangat memandangkan saya pun tak kerja. Sejujurnya tak salahkan suami saya.
Gaji dan status kewangan suami memberi kesan dalam sesebuah rumah tangga. -Gambar hiasan AI
"Cuma saya tak faham masa-masa tak berduit ni la banyak benda teringin. Kasihan dekat suami saya," ujarnya dalam satu perkongsian di Thread.
Menurutnya lagi, baki wang dalam akaun bank milik suami yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah syarikat hanya tinggal RM50 dan jumlah itu perlu digunakan untuk bertahan sehingga hujung bulan.
Difahamkan, wang tersebut adalah baki selepas ditolak pelbagai komitmen bulanan dan pembelian barangan bayi yang akan lahir tidak lama lagi.
ARTIKEL BERKAITAN: Isteri mengidam nak bau roti baru masak, suami terpaksa hantar ke rumah peniaga... Akhirnya tersenyum duduk depan ketuhar
ARTIKEL BERKAITAN: Isteri mengidam pelik sejak awal hamil, suami berjaya penuhi sebelum bersalin... Bawa ke balai, naik motosikal URB polis
"Saya semak baki dalam bank dia tinggal RM50 untuk survive (bertahan) sampai hujung bulan. Ya Allah, tak sampai hati rasa nak minta apa-apa... serius.
"Baru je gaji, tolak komitmen. Beli barang baby sebab tarikh nak beranak dah dekat. Sekarang syarikat sekat OT (kerja lebih masa) dah beberapa bulan. Tak ada extra income (pendapatan tambahan) macam sebelum ini," kongsinya lagi.
Luahan yang dimuat naik itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya tampil memberikan kata-kata semangat.
Dalam pada itu, warga maya juga berkongsi pandangan masing-masing selepas luahan ini dibuat.
- Wanita hamil lapan bulan terpaksa berhenti kerja akibat masalah kesihatan.
- Dia teringin makan laksa, tapi suami hanya ada RM50 untuk bertahan hingga hujung bulan.
- Ibu hamil tidak sanggup minta apa-apa kerana faham keadaan kewangan suami.
- Ramai netizen beri nasihat supaya terus kuat dan cuba cari peluang kerja untuk jana pendapatan.
- Dia akui pernah berniaga sebelum ini dan berazam untuk bangkit semula lepas bersalin.
"Untuk jangka masa panjang, awak kena kerja. Banyak benda boleh buat sekarang. Bisnes dalam talian ke, buat 'affiliate' ke. 'Tak sihat' ni baru 2 (tarikh) hari bulan dah tinggal RM50.
"Memang macam tu awak. Masa banyak duit bukan main 'berlagak' tekak ni. Masa tak ada duit, semua teringin nak makan. Sabar ya, jangan sedih. Allah dengar tu, nanti mesti dapat.
"Kalau rasa tak mati makan laksa tu, tahan la dulu keinginan tu. Encik suami tu pun tengah berusaha. Sabar itu indah," komen beberapa netizen.
Komen beberapa netizen di Thread.
Wanita itu turut memberikan respons terhadap komen-komen yang diterima, sambil mengakui dirinya sedar akan realiti hidup dan menghargai segala pandangan yang diberikan.
"Ya saya faham. Terima kasih untuk nasihat. Sebelum-sebelum ini memang ada berniaga, buka tempahan sikit-sikit.
"Cuma sejak mengandung memang tak larat. InsyaAllah saya cuba bangkit semula. Doakan saya," jelasnya.