KEGEMBIRAAN seorang pelajar perempuan yang dapat melanjutkan pelajaran di sebuah sekolah berasrama penuh ketika berada di tingkatan empat ternyata tidak berpanjangan.
Ibarat indah khabar daripada rupa, pelajar bernama Zetty Anisa Mohammad Noor akhirnya mendakwa menjadi mangsa buli pelajar senior.
Menurut ibunya, Norhafidzah Muridan, pengalaman hitam yang pernah dilalui anaknya itu enam tahun lalu masih berbekas dan segar dalam ingatan.
Anaknya yang mesra disapa Zetty menanggung derita menjadi mangsa buli selama hampir setahun, sehingga terpaksa mendapatkan bantuan kaunseling.
Sekitar pengebumian Allahyarham Zetty Anisa yang meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya pada 2023.
"Itu kali pertama Zetty masuk asrama kerana tingkatan satu hingga tingkatan tiga, dia bersekolah di sekolah biasa. Enam bulan pertama, keadaan masih okay.
"Saya memang kerap melawat ketika awal-awal dia masuk asrama, sehingga warden kata tak perlu datang selalu. Tak lama kemudian, apabila call, dia mengadu selalu kena buli dengan senior.
"Mereka ambil barang dia sesuka hati dan dia pernah dituduh mencuri. Sebab ada yang letakkan barang budak lain dekat dalam bilik dia. Menangis-nangis dia cerita," kongsinya si ibu kepada mStar.
Kematian Zara Qairina akibat buli cetus simpati ramai, termasuk Norhafidzah yang anaknya pernah alami perkara sama.
Anaknya, Zetty Anisa, dibuli hampir setahun di sekolah asrama penuh, secara psikologi dan emosi.
Buli berterusan walaupun pelajar senior tamat sekolah, dan dilakukan pula oleh rakan sebaya.
Zetty minta keluar asrama kerana tertekan, lalu dipindahkan ke sekolah harian menjelang SPM.
Zetty meninggal dunia dalam kemalangan, namun kisahnya dikongsi ibunya sebagai peringatan buat ibu bapa lain.
Wanita berusia 43 tahun ini berkata, hatinya luluh namun dia memberi kata-kata semangat dan memujuk anak perempuannya itu agar kental dan bersabar, mengharapkan gangguan tersebut tidak lagi berlaku.
"Anak saya bertahan hingga tingkatan lima. Ingatkan apabila senior dah tak ada, tiada lagi gangguan tapi silap... gangguan tetap ada daripada rakan sebaya.
"Anak cerita lagi... apabila dalam kelas, rakan-rakannya pandai berpura-pura baik tapi tatkala di asrama, mereka buli. Anak saya tak dipukul tapi didera secara psikologi.
"Barangnya diambil sesuka hati dan dia dilemparkan dengan kata-kata kurang enak... mungkin didasari rasa dengki sebab anak saya pelajar yang agak cemerlang dan disenangi guru," ujarnya yang mengusahakan kedai makan secara kecil-kecilan di Pontian, Johor.
ARTIKEL BERKAITAN: Gambar kumpulan pelajar didakwa buli arwah Zara Qairina tersebar, ramai gesa siasatan adil
ARTIKEL BERKAITAN: Tudung, baju sekolah digunting sebab berkulit gelap... Pelajar perempuan tahan sabar dihina buruk rupa paras!
Sehinggalah sekitar pertengahan tahun, Norhafidzah menerima panggilan video daripada anaknya yang menangis dan merayu-rayu agar dia dikeluarkan dari asrama berkenaan lantaran terlalu tertekan.
"Hari yang sama juga saya ke sekolah dan jumpa pengetua. Pengetua keberatan apabila anak nak keluar, beliau mencadangkan supaya anak saya bercuti dua minggu.
"Dalam tempoh rehat itu, anak saya meluahkan semua yang berlaku kepadanya. Akhirnya saya ambil keputusan untuk memberhentikan anak dari sekolah itu, dan masuk sekolah harian biarpun berbaki beberapa bulan lagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," ceritanya.
Ujar Norhafidzah, anaknya kemudian melalui kaunseling untuk memulihkan trauma hingga beransur pulih dan bersemangat meneruskan pelajaran seperti biasa.
Pemergian Zetty Anisa, anak tunggal yang rajin dan ceria cukup meninggalkan kesan buat Norhafidzah.
"Syukur Alhamdulillah keadaannya pulih... memang nampak perbezaan wajahnya yang semakin ceria. Selepas SPM, anak saya sambung pelajaran di sebuah kolej.
"Namun Allah lebih menyayanginya... anak saya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 8 September 2023, ketika berusia 19 tahun.
"Saya tak sangka perkongsian di Facebook mengenai kisah anak yang dibuli menjadi viral. Saya terdetik nak share sebab sangat terkesan dengan kisah Allahyarham Zara Qairina Mahathir... menangis baca.
"Buat ibu bapa yang hantar anak ke asrama, nasihat saya rajin-rajin pantau, tanya keadaan anak, dengar rintihan anak. Slow talk dan jangan paksa dia walaupun kita sandarkan harapan untuknya berdikari dan dapat keputusan cemerlang," akhirinya.