suria

Lima hari tinggal rumah, suami isteri terkejut kepulangan ‘disambut’ 4 tompokan aneh menyerupai kicap… Netizen pesan cari kesan najis manusia!

Dua daripada empat tompokan aneh menyerupai kicap di meja makan kediaman pasangan berkenaan.

SEPASANG suami isteri kebingungan apabila menemukan beberapa kesan aneh menyerupai tumpahan cecair kehitaman seperti kicap di dalam rumah mereka, selepas lima hari pulang bercuti dari kampung.

Menerusi perkongsian di laman Threads, individu yang menggunakan akaun @mijaaayusuf berkata, perkara tersebut disedarinya apabila dia dan suami tiba di rumah mereka yang terletak di Sungai Besi, Kuala Lumpur, sekitar pukul 10.30 malam, Isnin.

"Balik je dari kampung, nampak kesan (seperti) kicap atas meja. Empat lokasi berbeza, saiz yang sama. Dekat sinki pun ada kesan. 

"Tak jumpa logiknya dekat mana. Laki bini runsing tak habis memikir. Asal bercerita pasal benda ni, dua-dua meremang," tulisnya dalam hantaran berkenaan.

Menurut wanita tersebut, sudah menjadi rutin untuk dia membersihkan dapur sebelum meninggalkan rumah apatah lagi bagi jangka masa yang lama.

Mereka turut cuba melakukan eksperimen menggunakan bekas makanan anak, namun hasilnya tidak sama.

Malah apa yang lebih menghairankan, pemeriksaan yang dilakukan di seluruh rumah jenis apartment itu langsung tidak memberikan sebarang petunjuk sekali gus menambahkan tanda tanya.

"Botol kicap dan bahagian bawahnya suci murni tiada kesan leaking. Kami dah figure out bentuk tu daripada apa. Bentuk dan saiz tu, exactly daripada bekas bekal anak.

"Kami buat experiment lumur bawah bekal tu dengan kicap kemudian tekap dekat meja. Yang melekat cuma setitik dua je. Macam mana kesan yang ada tu boleh exactly bulat?" tulisnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Air mayat terpercik di badan, anggota penguatkuasa berdepan kejadian aneh ketika pulang ke rumah

ARTIKEL BERKAITAN: Puas bagi hint tapi isteri ‘blur’, tak faham! Pasangan ini berdepan insiden aneh lepas beri kucing makan tulang pukul 2 pagi

Wanita berkenaan berkata dia tidak menolak kemungkinan kediamannya dipecah masuk, namun menurutnya, hasil pemeriksaan pada semua pintu serta tingkap mendapati tiada yang rosak.

"Aku assume je kicap sebab mata kami nampak kesan tu hitam macam kicap. Kalau dekatkan hidung tak bau macam kicap, dia macam hanyir besi. Entah tak pandai explain

"Tak colek rasa dekat lidah pula sebab takut. Kesan-kesan tu kami tak usik.

"Tiada kesan tapak kaki, tak ada tanda-tanda rumah kena usik, kerusi semua tak berganjak, kesan meleleh kena tarik apa semua tak ada," kongsinya lagi.

  • Sepasang suami isteri kebingungan apabila menemui 4 kesan cecair hitam menyerupai kicap di meja dan sinki.

  • Mereka membersihkan rumah sebelum bercuti, dan tiada kesan botol kicap tumpah atau sebarang kerosakan pada pintu serta tingkap.

  • Eksperimen dilakukan menggunakan bekas makanan anak, namun hasilnya tidak sama dengan kesan misteri yang dijumpai.

  • Bau cecair itu digambarkan seperti 'hanyir besi' dan tiada kesan pencerobohan, tapak kaki, atau barang rumah yang dialihkan.

  • Susulan kejadian pelik itu, mereka membeli CCTV untuk keselamatan dan turut mencari nombor pengamal perubatan Islam.

Disebabkan situasi aneh tersebut, wanita berkenaan berkata dia dan suaminya sudah membuat tempahan pembelian kamera litar tertutup untuk tujuan keselamatan.

Dalam masa yang sama, dia turut meminta warga maya berkongsi nombor telefon pengamal perubatan Islam sebagai ikhtiar sekiranya ia berkaitan dengan unsur mistik.

Menerusi pemerhatian mStar, sehingga kini wanita tersebut belum membuat perkongsian terbaharu mengenai kejadian aneh tersebut.

Komen netizen terhadap perkongsian berkenaan. 

Perkongsiannya sehingga kini meraih ribuan ulang kicau (repost) dan komen warga maya yang tampil dengan pelbagai saranan.

"Sis, benda pertama kena buat, tukar semua kunci rumah dan check sama ada terdapat kamera tersembunyi atau tidak.

"Kalau ada jumpa najis manusia, itu memang orang. Dia akan berak dekat tempat dia sihir. Apa pun semoga sentiasa dalam lindungan Allah.

"Sebenarnya kalau makhluk halus tu tak kisah sangat, tapi paling risau dan takut kalau manusia yang masuk rumah, buat semua tu," komen netizen.

Artikel Lain